Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Sejumlah 15 syarikat dilantik bagi melaksanakan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di tujuh negeri membabitkan kos kontrak berjumlah RM1.245 bilion, kata Datuk Seri Fadillah Yusof.

Timbalan Perdana Menteri berkata, 15 syarikat itu sudah menerima Surat Setuju Terima (SST) daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi melaksanakan RTB di Johor, Selangor, Kelantan, Kedah, Pahang, Perak dan Negeri Sembilan.

“Projek RTB yang dianugerahkan kepada syarikat berkenaan perlu dilaksanakan bagi mengurangkan masalah banjir di lembangan sungai berkaitan, di samping menjamin keselamatan dan mengurangkan kerugian kerosakan harta benda kepada penduduk serta infrastruktur awam.

“Projek ini dianggap sebagai langkah strategik untuk merangsang pembangunan sosio-ekonomi serta alam sekitar yang lebih terpelihara,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi ucapan yang dibacakan Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir sempena Majlis Perhimpunan Bulanan PETRA di sini, hari ini.

Terdahulu, wakil daripada 15 syarikat berkenaan hadir untuk menandatangani dan membaca ikrar aku janji untuk melaksanakan projek RTB seperti dianugerahkan kepada mereka.

Ikrar itu bertujuan memastikan komitmen kontraktor untuk melaksana dan menyiapkan projek dalam tempoh masa ditetapkan.

Mengulas lanjut, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, perubahan iklim yang berlaku kini menyebabkan gelombang banjir besar melanda dan hampir melumpuhkan bandar yang berkaitan kerana sungai tidak lagi mampu menampung aliran hujan yang melimpah.

“Namun, melalui pelaksanaan projek pembangunan ini, dijangkakan penduduk setempat dapat menikmati peningkatan signifikan dalam kualiti hidup mereka.

“PETRA komited dalam pelaksanaan projek pembangunan yang dirancang dan diluluskan supaya dapat menjayakan agenda nasional,” katanya.-BH Online