Perjanjian Bersama Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) antara Malaysia dan Singapura dijangka dimeterai September ini, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Beliau berkata, rundingan kedua-dua negara sudah di peringkat akhir untuk memuktamadkan perjanjian berkenaan dan apabila perjanjian dimeterai, usaha pelaksanaan zon ekonomi itu akan dimulakan.
“Sebaik saja perjanjian dimeterai September ini, anda akan lihat lebih banyak butiran lanjut mengenai rancangan kepada bidang khusus dan pergerakan orang dan barangan.
“Keseluruhan idea adalah memastikan aliran bebas pergerakan orang dan barangan antara Singapura dan Johor,” katanya pada sidang media sempena Forum Pelaburan Zon Ekonomi Khas Johor Singapura bersama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi di sini, hari ini.
Mengulas bentuk insentif yang akan disediakan kerajaan untuk JS-SEZ, Rafizi berkata, pakej insentif fiskal dan bukan fiskal untuk zon berkenaan dijangka diumumkan dalam Belanjawan 2025.
Beliau berkata, perjanjian yang dijangka dimeterai pada September ini akan menyediakan rangka kerja keseluruhan kerjasama dan komitmen Malaysia dan Singapura.
Mengenai maklum balas pelabur terhadap pelancaran JS-SEZ, Rafizi berkata, berdasarkan sesi libat urus menerusi bengkel dan forum, pelabur menunjukkan minat yang tinggi terhadap pelancaran zon berkenaan.
Beliau berkata, kemajuan JS-SEZ akan dipacu pihak swasta iaitu pelabur modal teroka (VC) dan ekuiti swasta (PE) dalam bidang kandungan bernilai tinggi dan teknologi maju.
“Kami yakin dengan minat (pelabur) setakat ini memandangkan mereka melihat JS-SEZ sebagai batu loncatan ke pasaran ASEAN,” katanya.
Sementara itu, Onn Hafiz berkata, semua butiran perjanjian masih dalam perbincangan dan hanya akan dimuktamadkan apabila semua maklum balas serta pandangan telah diperhalusi dan diambil kira.
Beliau berkata, perkara yang penting adalah perjanjian dirangka akan memudahkan semua pihak untuk datang melabur bagi pembangunan JS-SEZ.-BH Online