Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Isu kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) ditamatkan tidak berbangkit, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pengerusi BN itu membuat penegasan sedemikian susulan kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan. mengenai keputusan kerjasama itu pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan dibuat mesyuarat jawatankuasa tertinggi BN.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, kerjasama dimaksudkan ialah dari segi perancangan bagi memastikan tidak timbul permasalahan saat akhir, terutama berhubung pembahagian kerusi Kerajaan Perpaduan.

“Saya terima saranan itu, memang kita akan bawa ke Dewan Tertinggi BN tetapi maksud saya ialah supaya kerusi yang kita akan tandingi tidak bertindih dalam kalangan kawan-kawan Kerajaan Perpaduan.

“Kita masih mengekalkan pendirian walaupun PRU-16 lambat lagi tetapi kita bertekad untuk terus menggunakan lambang BN bagi calon kita. Itu maksud yang tersurat dan yang tersirat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Kuala Kangsar di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Kuala Kangsar, Datuk Maslin Sham Razman; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; dan Timbalan Pengerusi UMNO Perak, Datuk Azian Osman.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, diminta mengulas Mohamad berhubung kerjasama BN dan PH seperti yang dilaporkan semalam.

Ahmad Zahid mengakui wujud keperluan bagi semua parti membuat perancangan lebih awal bagi memastikan susunan lebih strategik, terutama apabila timbul dakwaan kerusi MCA dan MIC sering bertindih dengan DAP yang mungkin menimbulkan ketidakpuasan hati.

“Semua parti politik merancang lebih awal. Jika dibuat saat akhir, situasi politik telah dan akan berubah.

“Bukan UMNO dan BN sahaja, malah saya pasti parti lain juga merancang dari sekarang sekurang-kurangnya untuk mengelak pertindihan kerusi dan kerjasama berkempen dapat dilakukan.

“Itu sebabnya perbincangan diadakan lebih awal supaya tidak timbul permasalahan,” katanya.

Ahmad Zahid turut menafikan MCA dan MIC selaku komponen BN, ‘kurang mesra’ dengan parti selain BN dalam Kerajaan Perpaduan hingga menzahirkan ketidakseimbangan dalam Kerajaan Perpaduan.

“Dalam mesyuarat parti dalam komponen Kerajaan Perpaduan, mereka (MCA, MIC) diwakili oleh oleh Presiden masing-masing atau timbalan untuk mengemukakan pandangan dalam mesyuarat Dewan Tertinggi,” katanya.-BH Online