Kerajaan negeri bercadang membangunkan sebuah pusat perniagaan Islam dengan semua produk jualan adalah berasaskan konsep patuh syariah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata pusat perniagaan itu yang dirancang dibuka di laluan antara Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) dan replika kapal Cheng Ho, di sini, dijangka dapat membantu usahawan Islam memasarkan produk mereka, sekali gus turut membangunkan ekonomi negeri.
Sehubungan itu, beliau berkata, Kerajaan Melaka bersedia untuk bekerjasama dengan Yayasan Restu untuk membangunkan pusat perniagaan terbabit.
“Kita menunggu cadangan lengkap daripada Yayasan Restu untuk membangunkan pusat perniagaan itu, dan sudah pasti kerajaan negeri menyokong usaha berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Al-Quran dan Produk Seni, Buku Sirah Nabi Muhammad SAW terbesar serta melancarkan Yayasan Restu Wilayah Selatan, di sini, malam tadi.
Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, kerajaan negeri menyokong penganjuran Ekspo Al-Quran berkenaan yang dilihat dapat memperkasa dan memartabatkan syiar Islam serta melahirkan ummah sejahtera.
Beliau berkata, sebanyak 10,000 naskhah buku terbitan Yayasan Restu dengan tawaran diskaun 20 peratus disediakan kepada pengunjung ekspo itu yang berlangsung selama 10 hari hingga 14 Julai ini.
“Tahniah kepada Yayasan Restu yang turut melancarkan aplikasi M-Quran berbentuk digital untuk mendedahkan masyarakat dengan amalan melazimi al-Quran menerusi kaedah terkini.
“Melalui cara itu, saya yakin umat Islam dapat menjadikan pembacaan Al-Quran sebagai satu budaya sepanjang masa, sekali gus memuliakan kitab suci itu yang memang dituntut dalam agama bagi memastikan umat Islam menikmati keberkatan dan keredaan hidup,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ab Rauf berkata, kerajaan negeri akan memanfaatkan hubungan baik dengan Presiden Terpilih Indonesia, Prabowo Subianto, bagi membincangkan semula cadangan membina jambatan merentasi Selat Melaka yang menghubungkan Melaka dengan Dumai.
Katanya, beliau akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Prabowo selepas upacara pelantikan dan angkat sumpah jawatan sebagai Presiden baharu Indonesia dijadualkan pada Oktober depan, serta berbincang mengenai cadangan pembinaan laluan baharu Malaysia-Indonesia itu yang tertangguh sebelum ini.
“Laluan baharu itu hanya membabitkan pembinaan jambatan sepanjang 47 kilometer (km) antara Masjid Tanah di Melaka ke Pulau Rupat di Dumai, Indonesia, dengan tempoh perjalanan kira-kira 40 minit. Ia bakal membolehkan pelaksanaan aktiviti perdagangan lebih meluas, sekali gus dapat meningkatkan ekonomi negeri dan negara,” katanya.
Pada 8 September 2022, Ab Rauf sebagai EXCO Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri ketika itu dilaporkan berkata, laluan baharu menghubungkan Malaysia dengan Tanah Besar Sumatera, Indonesia, melalui Telok Gong, Masjid Tanah, ke Pulau Rupat, Dumai, terbabit dirancang dibangunkan dengan kerjasama syarikat swasta.-BH Online