Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan mengutamakan aspek pengurusan, tatakelola dan kebertanggungjawaban seperti yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata perkara itu disuarakan Perdana Menteri pada mesyuarat Kabinet yang dipengerusikannya hari ini.

“Perkara ini juga secara umumnya terpulang kepada menteri masing-masing yang berkait dengan institusi, agensi dan jabatan yang diaudit untuk diambil tindakan susulan.

“Namun apa yang (menjadi) keutamaan Perdana Menteri adalah isu pengurusan atau tatakelola serta aspek kebertanggungjawaban dalam isu seperti yang dibangkitkan dalam LKAN,” katanya yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata demikian pada sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri di sini, hari ini.

LKAN 2/2024 yang dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat semalam antaranya melaporkan sembilan pengauditan membabitkan 11 kementerian dengan kos keseluruhan program, projek atau aktiviti yang diaudit berjumlah RM41.97 bilion.

Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi, dilaporkan berkata pengauditan itu adalah mengenai aktiviti kementerian atau jabatan kerajaan Persekutuan serta badan berkanun Persekutuan dan skop pengauditan meliputi projek yang dilaksanakan dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) hingga RMK12.

Katanya, terdapat beberapa kelemahan dalam pelaksanaan yang berpunca daripada pelbagai faktor seperti kurang pemantauan atau penyeliaan oleh pihak berkaitan, ketiadaan penyelarasan antara agensi berkenaan, ketiadaan pangkalan data yang lengkap dan kelemahan dalam dasar mahupun prosedur kerja.

Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, kerajaan tiada halangan sekiranya Jabatan Audit Negara berpandangan wujud keperluan untuk membawa perkara yang berbangkit ke perhatian pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“(LKAN) sudah dibentang di Dewan Rakyat, maka kita berikan ruang kepada Ahli Parlimen untuk membahaskan dan ini akan berlaku awal minggu depan dan selepas itu, sudah pasti kita akan mendengar pandangan daripada Ahli Parlimen.

“Jadi, sebarang tindakan yang wajar akan diambil tapi kita berikan ruang kepada Ahli Parlimen untuk meneliti dan membahaskan serta menteri untuk menjawab,” katanya.-BH Online