Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Umat Islam perlu mengambil langkah lebih positif dan berani menunjukkan akhlak Islam dalam menyantuni golongan bukan Islam di negara ini dan rantau Asia, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, perkara itu adalah antara yang diusulkan Sheikh Al-Azhar, Prof Dr Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb kepada beliau dalam usaha memastikan perpaduan dalam rakyat berbilang kaum di negara ini.

Dalam pertemuan dengan Sheikh Al-Azhar di Seri Perdana, Putrajaya, malam tadi, Perdana Menteri berkata, Sheikh Al-Azhar turut menggesa beliau untuk bekerja lebih kuat dan bersungguh-sungguh bagi menghimpunkan kekuatan umat.

“Beliau minta memastikan ada sikap yang lebih lunak dan berbaik sangka, hormat menghormati, lita’aruf (berkenal-kenalan) dalam kalangan umat Islam dan bukan Islam dalam negara. 

“Insya Allah, kita akan tunaikan amanat ini dengan sebaik mungkin. Kita ingin menyatakan penghormatan setinggi-tingginya dan kita manfaatkanlah pandangan usul yang beliau kemukakan supaya negara kita terselamat dan dapat mencapai cita-cita menjadi negara MADANI,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap selepas menyaksikan penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Pengajian Quran dan Sunnah kepada Sheikh Al-Azhar daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini, hari ini.

Majlis penganugerahan disempurnakan Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz, yang juga Pro Canselor USIM.

Yang turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, Sheikh Al-Azhar turut menekankan kepentingan untuk umat Islam menguasai disiplin, ilmu dan teknologi baharu untuk maju ke hadapan.

“Beliau juga menyebut mengenai kepincangan yang berlaku akibat daripada serangan dan asakan pemikiran Barat, sama ada liberalnya ideologi yang menyimpang landasan Islam dan mengingatkan kita mengenai bahaya sikap pelampau taksub yang menyebabkan perpecahan,” katanya.

Perdana Menteri berkata, beliau berharap universiti utama, seperti Universiti Al-Azhar, dengan rangkaian sistem pendidikan yang ada dalam negara dapat meneruskan usaha mempertahankan umat Islam melalui gedung ilmu.

“Al-Azhar mempunyai sumbangan sangat besar kepada dunia Islam di rantau kepulauan Melayu ini dan kita mendapat manfaat besar kerana graduan Al-Azhar menjadi benteng utama mempertahankan akidah ilmu serta menanam semangat dan roh Islam dalam masyarakat,” katanya.

Sheikh Al-Azhar sedang dalam lawatan rasmi ke negara ini selama empat hari, bermula Selasa lalu, atas undangan Perdana Menteri.

Lawatan khas Sheikh Al-Azhar, yang berstatus Perdana Menteri berdasarkan Perlembagaan Mesir adalah detik bersejarah dalam hubungan dua hala antara Malaysia dan Mesir, selain membuktikan pertalian erat dan kerjasama rapat antara kedua-dua negara dalam usaha membangunkan umat Islam yang progresif serta dinamik.

Sheikh Al Azhar terbabit selama lebih 23 tahun dalam bidang pengajian al-Quran. Beliau berkhidmat dalam institusi pendidikan pengajian Islam dalam pelbagai jawatan dan kedudukan, termasuk menjadi Presiden Universiti Al-Azhar selama tujuh tahun, sebelum dilantik sebagai Sheikh Al-Azhar bermula Mac 2010.

Beliau ialah ilmuwan dan ulama besar Ahli Sunnah Wal Jamaah serta memberikan sumbangan luar biasa dalam bidang pengajian Islam, termasuk mengkaji ribuan kitab sehingga memperoleh status Sheikh Al Azhar, yang juga menjadi titik perubahan dalam institusi Al-Azhar, yang kini menjadi tonggak keilmuan legasi Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam masyarakat global.-BH Online