Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof memandang serius dan tidak mahu segala laporan serta teguran Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) siri 2/2024 berkaitan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berulang pada masa akan datang.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, pasukan petugas diketuai oleh Ketua Setiausaha, Datuk Mad Zaidi Mohd Karli akan mengambil tindakan ke atas segala teguran dan syor dikemukakan dalam laporan itu termasuk berhubung pengurusan air negara.

Beliau berkata, kementerian itu mengambil maklum segala teguran dan syor berkenaan.

“(Mengenai) audit yang berhubung dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), kita memang sudah ada pasukan petugas untuk melihat segala laporan dan kita akan mengambil tindakan ke atas segala teguran (LKAN).

“KSU sendiri akan mengetuai pasukan untuk pastikan segala teguran audit diambil tindakan dan diharapkan tidak akan berulang untuk masa-masa akan datang,” katanya ketika ditemui media selepas meluncurkan Banci Pertanian 2024, di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, hari ini.

Turut hadir, KSU Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron. 

Fadillah berkata, pihaknya juga akan memastikan segala teguran diambil tindakan dan berharap supaya kelemahan dalam pelaksanaan aktiviti, projek dan program tidak akan berulang di masa akan datang.

LKAN 2/2024 yang dilaporkan hari ini, antaranya mendedahkan sebanyak 145 daripada 712 perojek pembangunan infrastuktur air didapati lewat daripada jadual asal antara 86 hingga 1,076 hari membabitkan kos berjumlah RM 6.150 billion.

Selain itu, sasaran 35 peratus (2020) dan 32 peratus (2023) kadar air tidak terhasil (NRW) bagi negeri sampel Kedah, Kelantan, Perlis dan Sabah tidak mencapai sasaran kebangsaan iaitu 51.5 peratus hingga 61.5 peratus pada tahun 2022.

LKAN 2/2024 turut mendedahkan loji rawatan kumbahan menjadi punca utama beban pencemaran tertinggi berjumlah 343 tan/ hari.

Justeru, syor audit kepada dua kementerian termasuk Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) ialah meningkatkan pemantauan terhadap penyiapan projek dan program pembangunan dan naik taraf bagi sumber air, bekalan air terawat dan kualiti air dalam tempoh ditetapkan.

Selain itu, laporan itu juga menyebut kementerian berkenaan juga perlu meningkatkan kawalan terhadap punca pencemaran dan parameter rawatan dengan lebih berkesan bagi menjamin kualiti air serta punca kuasa penguatkuasaan yang jelas berdasarkan bidang kuasa agensi.

Selanjutnya, memantapkan tadbir urus kolaboratif dan pembabitan kerajaan Persekutuan dan Negeri sebagai penyelarasan bidang kuasa serta penglibatan pihak berkuasa negeri bagi penyelesaian isu air secara bersepadu.-BH Online