Semua lapangan terbang di negara ini kekal milik kerajaan, manakala Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) berperanan sebagai operator kemudahan berkenaan, kata Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Menteri Kewangan II berkata, kerajaan juga akan terus memegang saham khas dalam MAHB dan berdasarkan hak itu kerajaan yang mempunyai kuasa melantik pengerusi dan pengarah urusan MAHB yang kedua-duanya warga tempatan.
Beliau ketika sesi penerangan di Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini, turut menyangkal dakwaan pihak asing akan mencampuri urusan atau mengambil alih lapangan terbang negara.
“Aspek keselamatan tetap menjadi tanggungjawab agensi kerajaan, termasuk kawalan keluar-masuk warga asing ke negara ini.
“Selari hasrat perjanjian konsortium ini, pengurusan MAHB tidak sama sekali akan diserahkan kepada rakan kongsi konsortium asing. Justeru, tiada asas untuk mendakwa warga asing akan ambil alih pengurusan MAHB,” katanya.-BH Online