Rang Undang-Undang (RUU) Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (Pindaan) 2024 dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, hari ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika membentangkan RUU berkenaan memaklumkan bacaan kali kedua dan ketiga juga akan dibuat pada persidangan kali ini.
RUU berkenaan bertujuan meminda Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Akta 283) dengan membuat perbezaan tafsiran antara penagih dadah atau bahan dengan penyalah guna dadah atau bahan.
Ia juga bertujuan meluaskan skop rawatan dan pemulihan kepada penagih dadah atau bahan atau penyalah guna dadah atau bahan.
Fasal 2 bertujuan meminda tajuk panjang Akta 283 untuk memperluas ruang lingkupnya supaya merangkumi penagih bahan dan penyalah guna dadah atau bahan.
Fasal 10 bertujuan memasukkan seksyen baharu 6a dalam Akta 283 untuk memperuntukkan Majistret memerintahkan penyalah guna dadah atau bahan menjalani rawatan dan pemulihan atas syor pegawai pemulihan serta selepas memberi mereka peluang membuat representasi.-BH Online