Tanda awal pendekatan penyasaran semula subsidi diesel baru-baru ini menunjukkan kesan positif dalam mengurangkan ketirisan, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Jika dibandingkan jualan runcit diesel sebelum dan selepas penyasaran semula subsidi, beliau berkata, setakat ini jualan purata harian di stesen minyak Semenanjung Malaysia berkurang lebih 30 peratus dan stesen di kawasan sempadan turun lebih ketara iaitu di antara 40 peratus dengan 50 peratus.
“Ini adalah indikator jelas pengurangan penyeludupan bahan api berkenaan. Penetapan harga runcit kepada paras harga pasaran tanpa subsidi mencapai hasil kerana langkah itu mengurangkan sebab untuk menyeludup.null
“Ini (pengurangan penyeludupan) tidak tercapai jika kerajaan melaksanakan kenaikan harga runcit secara beransur-ansur dan kecil kerana tidak akan menangani jurang perbezaan harga,” katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Abdul Khalib Abdullah (PN-Rompin) mengenai penyelarasan subsidi diesel yang dilaksanakan dengan memberi bantuan BUDI MADANI kepada pemilik kenderaan diesel M40 dan B40.
Abdul Khalib turut bertanya sama ada pendekatan itu merupakan satu jalan terbaik bagi membanteras penyeludupan diesel rentas sempadan.
Amir Hamzah berkata, bantuan bersasar disediakan antaranya kepada individu daripada kumpulan B40 dan M40 yang memiliki kenderaan diesel supaya tidak dibebani kenaikan harga runcit.
“Bantuan tunai sebanyak RM200 sebulan atau RM2,400 setahun ditetapkan mengambil kira data penggunaan. Bantuan RM200 dianggarkan mencukupi untuk menampung kos tambahan bagi perjalananharian 75 kilometer merujuk kepada kenderaan diesel biasa seperti lori pikap.
“Tahap penggunaan ini mencukupi untuk lebih 80 peratus pengguna kenderaan diesel persendirian berdasarkan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM),” katanya.
Oleh demikian, beliau berkata, pendekatan penyasaran subsidi melalui penetapan harga pasaran dan bantuan bersasar mencapai objektif membanteras ketirisan dan pada masa yang sama melindungi rakyat daripada kenaikan kos.
Di samping bantuan bersasar, pelbagai operasi penguatkuasaan juga akan terus diperkasakan melalui Ops Kesan, Ops Catut, Ops Terjah, Ops Tiris, Ops Menu, Ops Pasar dan Ops Samar oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“Semua operasi ini bertujuan membendung sebarang usaha untuk menjejaskan kestabilan bekalan barangan dan perkhidmatan serta mengekang elemen pencatutan harga di pasaran,” katanya.
Beliau berkata, kegiatan penyeludupan diesel negara jelas dilihat berdasarkan penggunaan diesel bersubsidi yang meningkat lebih 80 peratus daripada 6.1 bilion liter pada 2019 kepada 10.8 bilion liter pada 2023, walaupun tiada peningkatan kenderaan diesel yang ketara.
Justeru, kerajaan mengambil langkah penyasaran semula subsidi iaitu menetapkan harga runcit diesel di stesen minyak pada harga RM3.35 seliter iaitu harga tanpa subsidi dan pada masa yang sama menyediakan bantuan khusus untuk golongan sasar termasuk bantuan BUDI MADANI bagi pemilik kenderaan diesel daripada kumpulan B40 dan M40, katanya. – BERNAMA