Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) merancang membangunkan 18 loji sisa pepejal kepada tenaga (WTE) di Semenanjung Malaysia menjelang 2040.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, melalui konsep WTE, pengurusan sisa pepejal negara akan menyumbang kepada sasaran Malaysia untuk mencapai tenaga boleh baharu kapasiti terpasang sebanyak 70 peratus menjelang 2050.

“Ia juga mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 45 peratus menjelang tahun 2030.

“Pembangunan loji WTE dalam negara kita mampu menjana tenaga boleh baharu sebanyak 600 megawatt (MW),” katanya menerusi sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) mengenai 18 lokasi yang akan dibina loji WTE di seluruh negara.

Nga berkata, konsep WTE digunakan secara meluas di seluruh dunia kerana keberkesanannya untuk merawat sisa pepejal, selain berjaya mengurangkan jumlah sisa pepejal yang perlu dilupuskan ke tapak pelupusan sehingga 85 peratus.

Menurutnya, teknologi WTE yang terkini berpotensi mengurangkan sehingga 100 peratus sisa pepejal ke tapak pelupusan.

“Konsep ini juga adalah selamat kerana loji WTE beroperasi pada suhu yang tinggi iaitu 850 Celsius ke atas dan dilengkapi dengan sistem rawatan ‘flue gas’ yang telah terbukti mampu merawat gas berbahaya daripada dilepaskan ke alam sekitar.

“Tambahan pula, teknologi ini tidak memerlukan keluasan tanah yang besar, tidak menghasilkan air larut resap, bau busuk dan gas metana yang memberi impak negatif kepada kesihatan masyarakat dan alam sekitar,” katanya.

Katanya, KPKT juga akan mengenal pasti teknologi terbaik yang mampu bersaing di peringkat global dan lestari alam untuk digunakan dalam membangunkan projek loji WTE.

“Antara teknologi yang boleh digunakan adalah insinerator, Anaerobic Digestor (AD), Mechanical and Biological Treatment (MBT) dan sebagainya selaras dengan konsep ekonomi kitaran bagi pengurusan sisa pepejal yang mampan,” katanya.-Harian Metro Online