Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Persetujuan berhubung perkongsian data pelarian di antara Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) belum dicapai, dengan proses rundingan masih diteruskan. 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata setakat ini, tiga pusingan rundingan sudah diadakan bagi memudahkan proses pendaftaran dan pengurusan pelarian yang berada di negara ini. null

“Pada peringkat KDN, sudah tiga pusingan rundingan dengan UNHCR, pertama pada September tahun lalu di New York, diikuti dua lagi (rundingan ) di Kuala Lumpur.

“(Setakat ini), ia belum lagi berhasil, jadi rundingan masih diteruskan,” katanya pada sesi penggulungan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) 2021 dan 2022 di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kementeriannya masih menilai beberapa aspek, selain perlu mengharmonikan perspektif hak asasi manusia bagi pelarian yang bukan sekadar mengikut acuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), tetapi turut selari dengan konteks tempatan. 

“Misalnya, UNHCR mahu pegawai kita melalui proses latihan tertentu, sebagai satu daripada prosedur untuk perkongsian data. Selain itu, mereka (UNHCR) mahu perspektif hak asasi manusia mengikut acuan PBB, namun pada masa sama, kita berpandangan, ia wajar untuk turut dilihat daripada perspektif di negara (kita). 

“Ini antara perkara yang sedang cuba diharmonikan,” katanya. 

Saifuddin berkata, KDN sudah diberikan mandat oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memulakan proses pendaftaran pelarian dengan sistem khusus bagi tujuan itu sudah dibangunkan.

“MKN secara dasarnya membuat ketetapan bahawa terdapat tiga perkara perlu dilihat ke arah pengurusan pendaftaran pelarian. 

“Pertama, daripada analisis profil awal, kita dapati pelarian yang sudah ada di sini datang dari 48 negara. Tentu paling ramai adalah etnik Rohingya kerana ‘faktor penolak’ dari negara mereka, malah ada negara tertentu yang ada antara seorang hingga tiga pelarian di sini. 

“Dari segi polisi, MKN sudah buat keputusan mereka sudah yang ada di sini perlu dijaga daripada aspek kebajikan, kesihatan dan kemanusiaan,” katanya. 

Susulan itu, katanya, antara perancangan KDN adalah membantu mempermudahkan urusan kebajikan golongan pelarian ini, misalnya membantu mendapatkan pekerjaan. 

“Alangkah baik kalau kita boleh bantu mereka, contohnya dapat pekerjaan di ladang, ini lebih baik berbanding mereka membuka warung di tepi jalan. Selain itu, kerajaan juga ada peranan membantu akses kesihatan, ini mengambil kira hak asasi seorang manusia yang mungkin pernah melalui pengalaman sukar seperti ahli keluarga dibunuh di negara asal,” katanya.-BH Online