Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kuota Bumiputera akan terus dipertahankan biarpun kerajaan mengumumkan keputusan memberi jaminan tempat di Martrikulasi kepada calon cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tanpa mengira kaum atau latar belakang di matrikulasi.

Perdana Menteri berkata, sejak pengumuman itu dibuat, keputusan terbabit menjadi bualan dan polemik serta menghangatkan suhu politik.

“Kita ambil jalan yang kita anggap adil dan munasabah, kalau dia (pelajar) itu rakyat dan warga kita, kita harus pelihara tapi kita juga terima kenyataan mengenai meritokrasi, jadi tanpa mengira kaum dan wilayah, dapat 10A kita beri jaminan tempat di matrikulasi.

“Kuota Bumiputera kita tetap dikekalkan kerana ini keputusan sudah lama kerana berkait dengan Perlembagaan, jaminan masa depan Bumiputera Melayu supaya tidak berlaku kesenjangan, jadi penjawat awam harus faham, meritokrasi kita pertahankan, tapi keadilan juga kita pertahankan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini, hari ini.-BH Online