Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Pembangunan bola sepak membabitkan infrastruktur di negara ini mendapat perhatian Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) yang melihat Malaysia cukup komited menyediakan kemudahan terbaik bagi sukan nombor satu dunia itu.

Presiden Fifa, Gianni Infantino berkata, beliau cukup gembira dan berpuas hati terhadap komitmen diberikan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membina kemudahan untuk bola sepak terutama membabitkan projek Pusat Latihan Kebangsaan (NTC) yang dibina di Presint 5, Putrajaya.

Beliau berkata, pembinaan NTC itu bakal menyaksikan bola sepak di Malaysia lebih maju terutama di peringkat antarabangsa.

“Pusat Latihan Kebangsaan yang dibangunkan di Malaysia adalah contoh hebat mengenai apa boleh dilakukan oleh Fifa melalui program ‘Fifa Forward’ dengan kerjasama daripada negara ahli kami.

“Ia akan menyediakan generasi pemain elit dengan kemudahan terbaik untuk mempamerkan dan meningkatkan bakat mereka,” katanya.

Mengikut rekod, peruntukan ‘Fifa Forward’ ini digunakan untuk fasa pertama projek NTC iaitu pembinaan tiga padang bola sepak menggunakan rumput Bermuda, hibrid dan sintetik.

Padang itu akan dilengkapi lampu limpah, sistem saliran berkualiti, landskap dan pagar setinggi enam meter di sekeliling kawasan padang.

Sementara itu, kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pula memperuntukkan RM45 juta untuk fasa kedua NTC.

Fasa kedua NTC menyaksikan pembinaan pelbagai kemudahan di pusat latihan berkenaan termasuk gimnasium, surau, bilik persalinan pemain dan bumbung untuk padang rumput tiruan.

Majlis pecah tanah projek NTC pada 26 Jun lalu disempurnakan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang turut dihadiri Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin. 

Ia hasil pendedahan eksklusif Arena Metro yang melaporkan projek berkenaan sudah lima tahun diumumkan, namun sehingga kini ‘batang hidung’ bangunan atau kemudahan tidak kelihatan sehingga menimbulkan pelbagai persoalan banyak pihak mengenai status pembinaannya.

Berdasarkan kepada perancangan asal, projek berkenaan yang diumumkan pada 2019 itu sepatutnya bermula pada 2022 seperti diberitahu bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu seterusnya dijangka siap pada 2025.-Harian Metro Online