Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Bank Negara Malaysia (BNM) mewajibkan syarikat insurans dan pengendali takaful (ITO) yang menawarkan produk insurans dan takaful perubatan dan kesihatan (MHIT) baharu untuk memperkenalkan ciri-ciri perkongsian kos dalam produk MHIT bermula suku ketiga tahun ini.

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata ia adalah antara langkah untuk menangani kenaikan premium insurans atau sumbangan takaful bagi produk MHIT secara mendadak.

“Ini bertujuan mendorong penggunaan perkhidmatan kesihatan yang lebih bertanggungjawab dan seterusnya merendahkan kos yang perlu dibiayai bersama oleh ‘pool’ (berdasarkan konsep pengumpulan risiko).

“Tindakan ini juga dapat mengurangkan tuntutan palsu dan seterusnya dapat merendahkan kos secara keseluruhan serta meningkatkan kemampanan jangka panjang produk MHIT,” katanya pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai kenaikan kos premium insurans perubatan.

Menurut Hui Ying, berdasarkan pengalaman di beberapa negara, produk MHIT yang mempunyai ciri-ciri perkongsian kos mempunyai kadar premium insurans/ sumbangan takaful yang lebih rendah berbanding produk tanpa ciri-ciri 

berkenaan.

Beliau berkata selain itu, BNM telah memperkenalkan keperluan kepada syarikat ITO untuk memastikan produk MHIT kekal mampan dan mampu milik menerusi penubuhan pangkalan data tuntutan bersepadu.

“Penubuhan pangkalan data tuntutan bersepadu ini dapat membantu pihak ITO untuk mengenal pasti dan menangani peningkatan kos tuntutan perubatan dengan lebih baik.

“Pangkalan data ini membolehkan pihak ITO membanding caj yang dikenakan oleh hospital swasta yang berbeza serta memantau inflasi tuntutan tahunan keseluruhan industri ITO,” katanya.

Beliau berkata pangkalan data ini juga akan membuka jalan ke arah penerbitan kos perubatan untuk prosedur biasa bagi memudahkan pengguna membuat keputusan mengenai kemudahan rawatan dan pembelian insurans berdasarkan maklumat mencukupi. – BERNAMA