Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Karnival Jom Heboh (KJH) anjuran Media Prima Berhad (MPB) diyakini mampu menyumbang peningkatan jumlah pelancong dan pengunjung ke Melaka sempena kempen Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) ketika ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, mengakui KJH yang menjadi satu daripada program mega dalam kalendar pelancongan Melaka dapat menghimpunkan hampir 300,000 pengunjung, sekali gus menjadikan TMM2024 yang sedang berlangsung bertambah meriah. nullnull

Katanya, program tiga hari di Dataran Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) dan berakhir hari ini, adalah satu lagi inisiatif bagi menggamit lebih ramai pengunjung ke Melaka dengan penjenamaan tersendiri iaitu KJH Mana Lagi? Melaka Ler yang bertepatan dengan `tagline’ TMM2024. 

“Kerajaan negeri menyambut baik penganjuran karnival ini kerana ia bukan sahaja dapat menzahirkan sifat kebersamaan, keterangkuman dalam meraikan kepelbagaian etnik, agama dan bangsa, tetapi juga membawa pelbagai faedah termasuk menyumbang kepada peningkatan ekonomi serta pelancongan negeri. 

“Saya yakin, KJH adalah satu acara berprestij yang sangat dinantikan seluruh rakyat untuk meluangkan masa beriadah sambil berhibur bersama rakan serta keluarga di hujung minggu,” katanya selepas merasmikan KJH, malam tadi. 

Yang turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Ibrahim Durum; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abd Razak Abd Rahman; Ketua Pegawai Operasi Media Prima Omnia, Datuk Mohd Efendi Omar; Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman serta Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Berita dan Ehwal Semasa Rangkaian Televisyen MPB, Azhari Muhidin. 

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, usaha MPB dalam menganjurkan karnival mega berkenaan mampu merealisasikan hasrat untuk menarik sejumlah 18.7 juta pengunjung dan pelancong ke negeri itu sepanjang kempen TMM2024 yang bakal berakhir 31 Disember depan. 

“Usaha MPB sebagai media rasmi TMM2024 memainkan peranan besar dalam mempromosikan Melaka sehingga mencapai penonton yang lebih luas di serata dunia,” katanya.

Pada majlis itu, Ab Rauf turut membuat cabutan pengunjung bertuah yang memenangi hadiah masing-masing sebuah kereta Proton X50 dan Proton Persona dengan nilai keseluruhan melebihi RM150,000. 

Sementara itu, Mohd Efendi dalam ucapannya pada majlis perasmian berkenaan berjanji untuk menganjurkan KJH di Melaka pada tahun hadapan sebagai menghargai sokongan penduduk negeri itu terhadap usaha yang dianjurkan MPB bersama kerajaan negeri. 

“Walaupun TMM2024 berakhir hujung tahun ini, sebagai menghargai sokongan semua, termasuk daripada kerajaan negeri, kami berazam untuk membawa KJH sekali lagi ke Melaka pada tahun hadapan,” katanya.-BH Online