Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kerajaan sentiasa berusaha menangani isu kos sara hidup melalui beberapa kaedah, antaranya mengawal inflasi, membina keupayaan dan mengalih sumber bagi menambah pendapatan negara.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata fokus kerajaan ketika ini adalah kenaikan gaji kakitangan awam yang akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2025, Oktober depan.

Bagi peringkat swasta, katanya, gaji progresif akan diskalakan pada tahun mendatang.

“Perkara pokok yang dilakukan adalah dengan membina keupayaan negara, mengalih sumber negara untuk menambah pendapatan dan mengalih subsidi.

“Dalam usaha menaikkan gaji, membiayai gaji progresif dan inisiatif meningkatkan pendapatan rakyat, (negara) perlu sumber, setiap satu perkara akan terus berjalan dari satu bulan ke satu bulan,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Beliau menjelaskan, cabaran kos sara hidup menjadi isu global dalam mana-mana pilihan raya yang diadakan di serata dunia, termasuk di Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Perancis ketika ini, bukan sahaja dihadapi negara membangun seperti Malaysia.

“Ia turut melanda negara maju seperti China dan memerlukan masa untuk difahami rakyat. Saya baru balik dari China yang juga ada isu kos sara hidup, ia juga isu global dalam mana-mana pilihan raya besar yang berlaku di Amerika, United Kingdom, Perancis, memang isunya kos sara hidup.

“Sebahagian itu memang fenomena selepas COVID-19 dengan dunia masih mencari rentak menyeimbangkan kesan ekonomi selepas COVID-19,” katanya namun optimis rakyat akhirnya akan menghargai tindakan diambil kerajaan dan negara berada di landasan betul dalam menangani cabaran kos sara hidup.

“Malaysia kadar inflasi paling rendah. Kerajaan berjaya meredakan kenaikan dengan pendekatan sangat berbeza, selain dalam aspek mengawal inflasi supaya harga tidak terus naik bulan ke bulan,” katanya.

Beliau membidas Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwanya mengambil kesempatan memainkan emosi rakyat, termasuk dalam soal membabitkan kos sara hidup pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

“Dalam keadaan seantero alam sudah tahu keadaannya memerlukan campur tangan kerajaan, terutamanya dalam soal subsidi pukal, mengukuhkan kedudukan kewangan dan sebagainya, beliau boleh memainkan dan menjadikan isu rakyat.

“Sedia maklum, rekod pentabdiran bila Kerajaan MADANI ambil alih, kami terkejut dengan hutang yang mereka tinggalkan. Sebab hutang yang ditinggalkan, kami tiada pilihan, ambil tindakan untuk membina daya saing negara,” ujarnya.-BH Online