Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Barisan Nasional (BN) akan terus bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), kata Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Bagaimanapun, beliau berkata, BN dan PH akan masing-masing bertanding menggunakan lambang sendiri pada pilihan raya itu nanti.

“Insya-Allah, PRU akan datang kita menggunakan lambang BN. Ini bukan bererti kita lari daripada kesepakatan Kerajaan Perpaduan.nullnull

“Maksudnya, PH boleh bertanding menggunakan lambang PH, dan kita bertanding dengan lambang kita tetapi dari segi kerjasama, kita jalinkan.

“Asalkan kawasan yang kita bertanding itu tidak ditandingi mereka, dan kita tidak bertanding di kawasan yang mereka bertanding itu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Maran, Pekan Tajau, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ahmad Zahid dalam ucapannya pula berkata, sejak parti berada dalam Kerajaan Perpaduan bersama PH, belum ada agenda Islam yang diketepikan.

“Saya yang bertanggungjawab menakhodai UMNO (dan) saya akan memastikan parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan ini mengikut semua perkara yang termaktub dalam Perlembagaan, menjaga soal Islam, soal Melayu, tidak ada lebih dan tidak ada kurang, noktah. Itulah keyakinan diri kita,” katanya.

Mengulas status Parti Progresif Penduduk (MyPPP) yang berasa diketepikan sehingga membuat keputusan tidak turun berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pula, Ahmad Zahid berkata, ia masih antara parti gabungan dalam ‘Friends of BN.’

“Kita mengalu-alukan semua… setiap pemimpin parti dialu-alukan untuk mengambil bahagian dan menyumbang usaha. Sekarang ada 11 ‘Friends of BN’ sebagai parti gabungan dalam BN, kita samakan semua. Mereka masih sebahagian daripada ‘Friends of BN.’

“Parti komponen empat saja, iaitu UMNO, MCA, MIC dan PBRS (Parti Bersatu Rakyat Sabah) sebab perlembagaan BN memaktubkan keputusan untuk menerima mana-mana parti, mesti konsensus 100 peratus… jika ada parti tidak bersetuju, maka kita tidak akan menerima,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan MyPPP membuat keputusan tidak turun berkempen pada PRK DUN Sungai Bakap meskipun sudah turun membantu BN pada PRK DUN Kuala Kubu Baharu di Selangor.

Pemangku Presiden MyPPP, Datuk Loga Bala Mohan, dipetik berkata keputusan itu dibuat demi maruah parti berikutan pihaknya berasa diketepikan selepas bertungkus lumus membantu BN pada PRK DUN Kuala Kubu Baharu pada Mei lalu. – BERNAMA