Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Usaha melahirkan lebih ramai bakat tempatan secara berterusan perlu dipergiat pelbagai industri dalam memastikan pertumbuhan ekonomi negara, bukannya bergantung kepada industri berteknologi tinggi semata-mata.

Menerusi lawatan rasmi di beberapa fasiliti elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor di Pulau Pinang hari ini, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mendapati syarikat-syarikat berkenaan aktif dalam mendukung pembangunan bakat Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) dan juga Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tempatan.

“Kalau boleh, kita hendak pelbagai industri juga mendukung usaha sama untuk melonjakkan sektor perindustrian Malaysia,” katanya selepas lawatan itu sambil menambah, memupuk bakat adalah tanggungjawab seluruh negara.null

Tengku Zafrul melawat fasiliti Motorola Solutions, Abbot Medical Devices, Pentamaster dan UWC.

Sementara itu, beliau berkata industri perlu lebih giat meningkatkan kesedaran berkenaan jumlah peluang pekerjaan dalam industri berteknologi tinggi.

“Melalui Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) (misalnya), kita menyasarkan 60,000 tenaga mahir berasaskan teknologi dan kejuruteraan untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi yang mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi,” katanya.

Menerusi lawatan hari ini, Tengku Zafrul turut mengambil maklum perkembangan syarikat-syarikat dalam mendukung misi Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP2030) dan kesediaan mereka untuk memainkan peranan utama bagi mencapai sasaran NSS.

Antara sektor diberi tumpuan di bawah NSS yang dilancarkan akhir bulan lalu adalah E&E dan Pulau Pinang adalah hab bagi semikonduktor negara. – BERNAMA