Tiada sebarang peraturan melarang peniaga menggunakan transaksi pembayaran tanpa tunai sepenuhnya di premis perniagaan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata tidak terdapat akta atau undang-undang termasuklah peraturan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang menghalang premis perniagaan untuk mengkhususkan transaksi hanya dalam bentuk pembayaran tanpa tunai.
“Jadi maksudnya tiada larangan sekiranya ada peniaga mahu memberi pilihan atau tidak untuk aspek pembayaran di premis masing-masing.
“Kita tahu bahawa pembayaran tanpa tunai adalah satu trend global kerana pelaksanaannya bukan hanya dibuat di Malaysia tetapi banyak negara di seluruh dunia menggalakkan cara pembayaran dalam transaksi seumpama ini.
“Malahan transaksi membabitkan premis kerajaan di negara ini kini turut mengaplikasikan bayaran tanpa tunai.
“Kesimpulannya, penggunaan cara pembayaran tanpa tunai sepenuhnya di sesebuah premis perniagaan bukan menyalahi undang-undang,” katanya ketika sidang media selepas Program Penyerahan Lori dan Bas Dari Sinyi Group dekat sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Armizan bagaimanapun menyatakan kerajaan memahami masih terdapat segelintir pengguna yang belum terbiasa dengan transaksi tanpa tunai disebabkan ada kawasan tertentu mempunyai masalah telekomunikasi dan sebagainya.
Melihat perkara itu, Armizan berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan aduan dari pengguna bagi membolehkan tindakan diambil.
“Kita akan mengadakan advokasi rundingan dengan premis perniagaan terbabit supaya mereka boleh mempertimbangkan untuk membuka ruang kepada transaksi tunai.
“KPDN tidak akan lepas tangan malahan bakal membantu pengguna di kawasan bermasalah yang tiada pilihan dalam membuat transaksi berurusniaga,” katanya.
Beliau berkata, setakat ini terdapat dua aduan pengguna di Kuala Lumpur dan Selangor berkaitan premis perniagaan tidak menerima sistem bayaran tunai.-BH Online