Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyasar semua Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di seluruh negara, akan menjadi Tabika Pra Tahfiz menjelang 2030.
Program itu yang bertujuan memperkasa pendidikan al-Quran dalam kalangan kanak-kanak, akan menggunakan modul Yayasan Pahang, Yayasan Pendidikan Tun Abdul Razak (PINTAR) dan KEMAS. nullnull
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid, berkata beliau sudah mempersembahkan cadangan itu kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, ketika baginda masih menjadi Yang di-Pertuan Agong, yang menyarankan modul pra tahfiz KEMAS yang dilaksanakan Yayasan Pahang dapat digunakan KEMAS.
“Mudah-mudahan ini (Tabika KEMAS program pra tahfiz) akan dapat dilaksanakan. Bagi kaedah (mereka) yang bukan Islam, ada kaedah lain untuk anak-anak ini.
null
“Namun, untuk anak-anak orang Islam khususnya di desa dan luar bandar, saya fikir sangat memerlukan pengajaran ini, kita akan teruskan,” katanya di Program Sembang Santai Bersama-sama Komuniti Daerah Lipis di Dewan Residen Lipis di sini hari ini.
Beliau berkata, KKDW juga menjalin kerjasama dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) untuk mengajar guru-guru yang tidak ada latar belakang pendidikan agama untuk mengajar al-Quran dan agama Islam.
Katanya, oleh itu guru-guru KEMAS akan mengikuti latihan iaitu menerusi kerjasama antara Yayasan Pahang, Yayasan Pintar, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan melalui modul KEMAS sendiri.
“Saya juga akan mengusahakan guru KEMAS N29 dan kategori yang lain, kita tahulah nak minta dengan tidak mendesak tetapi memujuk supaya guru KEMAS diambil kepedulian dari segi skim gaji oleh kerajaan,” katanya.
“Kerajaan turut mencari jalan supaya tidak berlaku penyelewengan dari segi pedagogi pendidikan termasuk kaedah pengajaran agama Islam dan Al Quran dengan mengikut sumber hukum di dalam al-Quran.
Ahmad Zahid berkata, pendidikan agama Islam yang betul mengikut al-Quran penting memandangkan banyak kelas taska atau tadika yang menyeleweng daripada asas pendidikan prasekolah yang disuntik dengan doktrin pemikiran ketaasuban.
“Maka, kita mesti mencari jalan supaya tidak berlaku penyelewengan dari segi pedagogi pendidikan atau kaedah pengajaran supaya pengajaran agama Islam dan pengajaran al-Quran itu mesti mengikut apa yang ada di dalam pengajaran kita.
“Sumber hukum berkenaan, yang pertama, pengajaran mesti yang ada di dalam al-Quran, kedua apa yang ada dalam hadith dan ketiga qias dan keempat ijmak ulamak.
“Oleh itu, kerajaan menerusi KKDW dan KEMAS mencari jalan supaya pendidikan Islam khususnya untuk anak-anak prasekolah dapat diajar dengan kaedah yang benar iaitu menerusi Yayasan Pahang dan Yayasan PINTAR,” katanya.-BH Online