Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, masalah membabitkan bekalan air bersih bukan isu di Sungai Bakap, Nibong Tebal sahaja, sebaliknya membabitkan beberapa negeri di seluruh negara.

Perdana Menteri berkata, namun begitu pentadbiran kerajaan pimpinannya tidak mengabaikan tanggungjawab, sebaliknya berusaha menyelesaikan isu berkenaan tanpa mengira fahaman politik.

“Di Nibong Tebal (Sungai Bakap) ada masalah air. Di Kedah (juga) ada masalah air. Di Kelantan lagi (ada) masalah air (termasuk) di Sabah pun masalah air. 

“Namun kita (kerajaan) cuba selesaikan. Dalam pertemuan (sebelum ini) dengan MB Kelantan (Datuk Nassuruddin Daud), beliau maklumkan pam (sekarang) tidak cukup tinggi (untuk sedut air) maka saya arah beli segera pam (baharu). Ini bukan soal politik tetapi ini soal rakyat.

“Yang ini (tolong rakyat) kita buat. Saya boleh tanya yang dulu (pemerintahan terdahulu ada buat ke tak) tapi saya tak buat (begitu) walaupun saya boleh tanya, tapi tak apa masa kita, kita buat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Karnival Tekun Madani di SP Arena Seberang Jaya, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, Kerajaan Pusat mengadakan perbincangan dengan kerajaan Perak bagi membantu menyalurkan air di bahagian utara negeri itu termasuk kawasan Seberang Perai Selatan.

“Di Pulau Pinang ini, airnya tidak cukup. Di Sungai Pinang tak ada, air laut tak boleh minum, jadi kita berikhtiar dan cari penyelesaian.

“Saya telah bertemu dengan Sultan Perak (Sultan Nazrin Shah) kemudian jumpa Menteri Besar Perak (Datuk Seri Saarani Mohamad) sebelum Perak bersetuju membekalkan air kepada Pulau Pinang melalui projek Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) ke Seberang Perai dengan peruntukan sebanyak RM4 bilion,” katanya.

Terdahulu, kerajaan Pulau Pinang menegaskan sekali lagi bahawa tidak pernah lari dari masalah apabila kini giat berusaha merangka projek jangka pendek, sederhana dan panjang dalam menangani permasalahan air di Mukim 5 Sungai Bakap yang membelenggu penduduk sejak enam tahun lalu.

EXCO Infrastruktur, Pengangkutan dan Pembangunan Digital negeri, Zairil Khir Johari dilaporkan berkata ketiga-tiga projek berkenaan telah diumumkan sebelum ini menerusi Pelan Kontingensi Air 2030 (WCP2030) oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).

“Untuk (projek) jangka masa pendek, kita sedang merancang projek paip baru sepanjang lima kilometer (km) untuk menyalurkan air terus ke Mukim 5 daripada Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Panchor yang baru dinaik taraf, manakala projek sederhana dan panjang juga sedang diatur,” katanya.

PBAPP sebelum itu beberapa kali menjelaskan bahawa ia mengambil pelbagai inisiatif meningkatkan bekalan air di daerah Seberang Perai Selatan, antaranya melalui tiga projek mitigasi tambahan iaitu Pakej 12A Loji Rawatan Air (LRA), LRA Kompak di Sungai Kerian dan Pemasangan Paip di Jalan Permatang Pauh hingga ke Jalan Kampung Bagan Serai Seberang Perai Tengah.

Dalam pada itu, satu lagi projek jangka panjang iaitu Projek Air Perak dan Pulau Pinang juga dijangka menyelesaikan permasalahan air di kawasan itu selepas 2030 nanti.-BH Online