Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Masyarakat Islam diseru supaya tidak terpengaruh dengan dakwaan seorang pempengaruh yang menuduh sistem pertahanan negara akan dikuasai oleh pihak asing susulan penjualan saham milik Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada syarikat BlackRock.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menegaskan, pihaknya memandang berat dakwaan pempengaruh terbabit sambil menyifatkan fakta yang diberikan menyeleweng daripada penjelasan terperinci oleh perdana menteri di Parlimen baru-baru ini.

Beliau berkata, perdana menteri telah menyatakan pelaburan BlackRock tidak mempengaruhi aspek pemilikan dan pengurusan lapangan terbang dan pertahanan negara.

“Sehubungan itu, saya ingin menyeru agar umat Islam tidak terpengaruh dengan dakwaan pempengaruh tersebut yang jelas tidak bersandarkan fakta sebenar.

“Saya mengajak umat Islam di Malaysia untuk mengambil tindakan “tabayyun” iaitu menyelidik dan mendalami kesahihan sesuatu dakwaan dan berita dalam isu membabitkan kepentingan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Na’im turut mengajak umat Islam supaya berhati-hati dengan pelbagai usaha segelintir individu tidak bertanggungjawab yang cuba mewujudkan rasa takut dan terancam dalam kalangan umat Islam dan rakyat Malaysia dengan menggunakan sumber yang berunsur fitnah dan tidak sahih.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk kesekian kalinya ingin terus menegaskan sikap dan pendirian Kerajaan Malaysia yang kekal bersolidariti bersama perjuangan rakyat Palestin yang kini sedang berdepan dengan kekejaman Israel,” tambahnya. – MalaysiaGazette