Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kerajaan akan membentangkan usul meminda Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 di Dewan Rakyat dalam masa terdekat, bagi membantu individu terbabit pengambilan dadah mendapat kesedaran untuk menawarkan diri menerima rawatan dan pemulihan secara sukarela.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pendekatan baharu yang mahu dilaksanakan dalam pindaan akta itu mahu menjadikan individu terbabit dengan najis dadah perlu didekati sebagai klien atau pesakit, bukannya sebagai kumpulan penagih yang ditahan di penjara.

Beliau berkata, jika langkah melakukan pindaan akta berkenaan berjaya, ia akan memudahkan lagi usaha memulihkan golongan penagih tanpa perlu menempuhi banyak kerenah birokrasi.

Katanya, ia sekali gus bakal mengubah persepsi negatif masyarakat terhadap mana-mana individu yang terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

“Sebelum ini kes-kes pemulihan perlu dinilai dahulu oleh pegawai perubatan bertauliah dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) namun melalui pindaan ini penagih hanya perlu berurusan dengan pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang terlatih dan mempunyai kepakaran disahkan tanpa perlu lagi merujuk kepada pegawai perubatan hospital.

“Pada masa ini, kita (KDN) sedang menunggu giliran membentangkannya di Parlimen pada sesi kali ini dalam beberapa hari lagi, selain berharap dapat sokongan majoriti mudah,” katanya selepas merasmikan Simposium Sains Penagihan Dadah Nasional, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Anti Dadah Kebangsaan Khairul Anwar Bachok.

Saifuddin berkata, kerajaan juga mempunyai harapan besar untuk melihat individu terbabit dengan dadah dapat dipulihkan, seterusnya memberi sumbangan kepada negara.

Beliau berkata, statistik penyalah guna dan penagih dadah di Malaysia pada 2023 adalah sekitar 145,000, dengan golongan muda yang berusia 19 hingga 39 tahun terjebak dengan najis dadah sekitar 90,000 orang, manakala 40 tahun ke atas sekitar 50,000 orang.

“Jika kumpulan ini tidak diuruskan dengan baik, ia akan memberi kerugian besar kepada negara.

“Untuk itu, kita berharap anjakan yang mahu dilakukan dalam Akta Penagih Dadah itu akan memberi impak besar dalam menangani masalah dadah,” katanya.-BH Online