Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS) yang diumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mei melonjakkan Indeks Teknologi Bursa Malaysia menjadi sektor berprestasi tinggi bulan lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift, berkata selepas pengumuman NSS oleh Perdana Menteri, indeks berkenaan melonjak 18 peratus untuk mencapai tahap tertingginya sejak April 2022.

“Indeks ini terdiri daripada 48 konstituen dengan jumlah pemodalan pasaran kira-kira RM91 bilion diterajui oleh syarikat semikonduktor yang menumpukan pada pemasangan dan ujian penyumberan luar, peralatan ujian automatik dan perkhidmatan pembuatan elektronik.

“Dari Januari hingga Mei 2024, Purata Nilai Dagangan Harian (ADV) sektor teknologi meningkat sebanyak 30 peratus tahun ke tahun, menyumbang 14 peratus daripada jumlah ADV pasaran setakat 31 Mei 2024.

“Kita juga melihat belian bersih pelabur asing dalam saham teknologi bernilai RM413.45 juta pada Mei 2024 sahaja. Menjelang akhir Mei 2024, pegangan saham asing sektor itu meningkat kepada 16.2 peratus daripada 15.7 peratus yang dicatatkan pada April,” katanya dalam ucapan penutup acara Semicon:Meneroka Pasaran AS$1 trilion anjuran Bursa Malaysia dan Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) di Kuala Lumpur, hari ini.

Acara dirasmikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. 

Turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif HLIB, Jim Leng dan Presiden Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia, Datuk Seri Wong Siew Hai.

Muhamad Umar berkata, kemajuan luas dalam industri semikonduktor didorong oleh inisiatif berfikiran ke hadapan daripada kerajaan, khususnya NSS yang menggariskan laluan yang jelas untuk industri tempatan mengukuhkan kedudukannya dalam rantaian bekalan global.

Katanya, satu kemestian utama NSS adalah memberi peluang kepada syarikat Malaysia untuk terbabit dalam mengupayakan nilai yang lebih tinggi seperti dalam reka bentuk cip.

“Dalam hal ini, contohnya ialah kejayaan penyenaraian Oppstar Bhd pada Mac 2023. Sehingga akhir Mei 2024, permodalan pasarannya meningkat lebih dua kali ganda kepada RM896 juta daripada paras IPO (tawaran awa permulaan) RM400 juta,” katanya.

Oppstar ialah antara beberapa syarikat Malaysia di bahagian hadapan industri semikonduktor, menawarkan spektrum penuh perkhidmatan reka bentuk litar bersepadu (IC).

Beliau menjelaskan, industri semikonduktor Malaysia mempunyai prospek cerah ke hadapan dengan menguasai 7.0 peratus bahagian pasaran pasaran semikonduktor global.

Katanya, industri semikonduktor negara bersedia untuk mencatatkan pertumbuhan yang lebih besar dengan ramalan peningkatan yang disemak semula sebanyak 16 peratus tahun ini.

“Penganalisis optimis mengenai industri semikonduktor tempatan kerana 10 syarikat semikonduktor teratas yang tersenarai di Bursa Malaysia telah menerima penarafan konsensus 3.8 daripada 5, dengan lima menunjukkan saranan ‘mesti beli’. 

“Sesungguhnya, masa depan industri semikonduktor tempatan adalah cerah, disokong oleh pelan hala tuju NSS. Ia akan membimbing industri ke arah masa depan di mana industri semikonduktor kita berkembang maju di peringkat global,” katanya.-BH Online