Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kerajaan Johor memohon supaya satu majlis pembangunan bakat dapat diwujudkan di negeri itu, bagi memastikan tenaga kerja yang mencukupi bagi menjayakan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata penubuhan majlis berkenaan akan dapat memastikan semua agensi terbabit, sama ada di peringkat Pusat atau negeri berkolaborasi dengan baik di negeri ini.

Beliau berkata, perkara itu adalah bagi memudahkan urusan dilaksanakan selain memastikan bakat yang mencukupi di Johor.

“Kita mencadangkan supaya adanya satu Johor majlis pembangunan bakat yang dapat ditubuhkan dan dianggotai agensi di peringkat Persekutuan dan negeri, dan kita mencadangkan biarlah Kementerian Sumber Manusia menjadi sekretariat untuk jawatankuasa tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2024, yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, di sini, hari ini.

Onn Hafiz berkata, JS-SEZ yang bakal dimeterai tidak lama lagi, akan menjadi pemangkin untuk pembangunan ekonomi negeri Johor dan mampu mencipta lebih 100,000 peluang pekerjaan.

Beliau berkata, penubuhan majlis berkenaan, mampu melonjakkan Johor sebagai enjin ekonomi yang baharu dan kuasa ekonomi terpenting di negara ini, selepas Kuala Lumpur.

NTW 2024 yang berlangsung selama seminggu bermula hari ini hingga 30 Jun ini adalah minggu kesedaran latihan besar-besaran dengan penganjuran pelbagai acara dan aktiviti latihan secara percuma.

Program berkenaan menawarkan lebih daripada 25,000 kursus percuma kepada seluruh rakyat Malaysia dengan sasaran sebanyak 200,000 pendaftaran.

Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp), iaitu agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia bersama rakan kongsinya, akan menyediakan hampir 700 program latihan termasuk pelbagai aktiviti pembelajaran dan pembangunan kepada penduduk setempat, sepanjang program tersebut. – BERNAMA