Malaysia perlu segera meningkatkan produktiviti dengan kadar segera di sebalik persekitaran ekonomi yang mencabar ketika ini, demikian menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Beliau berkata, bagi memajukan prestasi ekonomi di tengah-tengah kemerosotan sumber, peningkatan kos menjalankan perniagaan dan peningkatan kadar inflasi, negara perlu berinovasi untuk menghasilkan lebih banyak peluang yang membuahkan hasil lebih baik serta faedah dan keuntungan yang lebih tinggi.
Hal ini, katanya memerlukan peningkatan produktiviti, proses kecekapan dan inovasi untuk meningkatkan pengeluaran dan penghantaran barangan dan perkhidmatan.
“Produktiviti berkaitan kecerdasan buatan (AI) adalah satu bidang yang boleh Malaysia tingkatkan kerana potensi AI dapat memudahkan tugas yang kompleks, sekali gus meningkatkan produktiviti dan membuka pintu kepada kreativiti serta pemikiran strategik,” katanya ketika melancarkan Laporan Produktiviti 2024 oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Setiausaha MITI, Datuk Hairil Yahri Yaacob.
Tengku Zafrul berkata, kajian mengenai generatif AI pada pekerja mahir menunjukkan ia mampu menambah baik prestasi sekitar 40 peratus.
“Di samping itu, AI adalah langkah untuk meningkatkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi meningkatkan kerumitan ekonomi dengan menghasilkan dan menyampaikan produk dan perkhidmatan yang berdaya saing.
“Ia membolehkan kemasukan rantaian ekonomi dan syarikat global bernilai tinggi. Dalam R&D, proses inovasi sama pentingnya dengan inovasi produk dan kritikal dalam meningkatkan produktiviti,” katanya
Turut hadir Pengerusi MPC, Datuk Kamaruzzaman Johari.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, jalinan dengan penggunaan teknologi adalah peralihan ke arah mewujudkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang dipacu industri, di mana kemahiran digital dan kecekapan antara ciri bakat utama.
Beliau berkata, kerajaan komited untuk mencipta lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi apabila pelaburan mengalir masuk ke dalam negara, membolehkan sasaran kerajaan dalam mewujudkan gaji yang lebih tinggi dan insentif yang lebih baik untuk tenaga kerja tempatan dicapai.
“Di samping teknologi dan bakat, Kerajaan juga bertanggungjawab untuk mewujudkan peraturan yang menyokong persekitaran bagi peningkatan produktiviti.
“Peraturan harus memudahkan pertumbuhan, mengurangkan kos pematuhan yang tidak perlu dan penggunaan sumber untuk perniagaan. MITI komited untuk melaksanakan inisiatif ‘Zero Red Tape’ untuk memakmurkan pelaburan dan iklim perniagaan negara,” katanya.-BH Online