Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak masyarakat menonton pementasan teater berjudul Hadji Murat yang bakal berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bermula 26 hingga 29 Jun ini. 

Perdana Menteri berkata, teater berkenaan diadaptasi daripada karya sasterwan dan novelis ulung Russia, Leo Tolstoy dan banyak iktibar boleh dijadikan pengajaran lagi-lagi berkait kezaliman dan politik pemerasan berterusan dalam isu di Palestin.

Katanya, sosok Hadji Murat adalah watak yang tersepit di antara dua kekuasaan yang zalim dan bertindak semata dalam menyelamatkan keluarganya. 

Beliau akui karya itu ternyata mengesankan tatkala ia menekankan betapa perang serta kekuasaan yang ganas hanya melahirkan ramai watak yang jahat dan khianat.

“Mengimbau saat mengajar di Amerika Syarikat (AS), ramai yang membicarakan mengenai gejala Islamofobia dan terorisme pasca serangan 9/11 dan saya membawa kisah novella Hadji Murat yang mengisahkan penaklukan empayar Russia ke atas warga Muslim di wilayah Dagestan, Kaukasus Utara. 

“Hadji Murat adalah sosok yang dekat dan paling kanan kepada Imam Shamil, ketua pejuang dan watak penting di tampuk kepemimpinan wilayah tersebut. 

“Mereka berjuang seiring melawan kerakusan empayar Russia yang dikepalai Tsar Nicholas I dan berlakunya pertembungan antara pejuang dan penjajah kerana ingin membebaskan keluarga tercinta. 

“Tolstoy berjaya mewujudkan rasa dan sikap yang simpatetik melalui karyanya itu, apalagi kepada seorang pejuang dan wira umat Islam yakni Hadji Murat, terutamanya di saat dunia dirundung berat akan kezaliman dan budaya politik pemerasan yang kini berterusan di Palestin,” katanya dalam hantaran di Facebooknya hari ini.

Menurut Perdana Menteri, Tolstoy yang pernah dicalonkan sebagai pemenang hadiah nobel itu turut terkenal dengan karya besarnya yang lain.

Antaranya War and Peace dan Anna Karenina yang ditulis sekitar 1896 hingga 1904, sehingga Tolstoy meninggal dunia. 

“Komentarnya itu lantas telah mencipta semacam ribut di dunia kesusasteraan tatkala Bloom meletakkan Hadji Murat lebih tinggi ketimbang karya Tolstoy lainnya yakni Anna Karenina dan War and Peace,” katanya.-Harian Metro