Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kerajaan yakin ekonomi negara masih tetap mencapai unjuran rasmi kadar inflasi dan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun ini, meskipun dengan pelaksanaan penyasaran semula subsidi diesel.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan menyasarkan kadar inflasi antara 2.0 peratus dan 3.5 peratus serta pertumbuhan KDNK antara 4.0 peratus dan 5.0 peratus pada tahun ini.

“Pendekatan penyasaran semula subsidi diesel yang diambil iaitu menyediakan diesel bersubsidi kepada sektor logistik dan bantuan tunai bulanan kepada individu akan mengurangkan tekanan ke atas harga barang pengguna dan impak kepada rakyat,” katanya pada Sesi Penerangan Menteri mengenai Pelaksanaan Penyasaran Semula Subsidi Diesel di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menegaskan, kerajaan masih menanggung subsidi diesel sehingga RM10 bilion walaupun penjimatan dianggarkan RM4 bilion setahun daripada penyasaran semula subsidi diesel.

Katanya, ini untuk menampung subsidi di Sabah dan Sarawak, subsidi untuk sektor pengangkutan awam dan sektor logistik Semenanjung Malaysia, bantuan tunai untuk pemilik kenderaan individu dan pengusaha kecil agri-komoditi serta subsidi diesel nelayan.

Mengulas mengenai BUDI MADANI, Amir Hamzah berkata sehingga 19 Jun lalu, sebanyak 100,000 pemohon di bawah kategori individu dan agri-komoditi diluluskan.

Daripada jumlah itu, sebanyak 76,000 pemohon menerima bantuan tunai bulanan RM200 seawal 10 Jun lalu.

Amir Hamzah turut menekankan bahawa kerajaan sentiasa memberi perhatian khusus untuk memastikan mekanisme terbaik digunakan bagi melindungi sektor perniagaan dan rakyat yang layak dibantu.

Beliau juga menegaskan, keputusan melaksanakan penyasaran semula subsidi diesel bukanlah satu langkah mudah untuk diambil dan kerajaan tidak terburu-buru.

Sebaliknya, keputusan itu membabitkan kerjasama sama ada jabatan kerajaan di bawah Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Perladangan dan Komoditi, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Kementerian Pengangkutan mahupun syarikat minyak dan pemain industri.

Amir Hamzah memaklumkan, jumlah diesel bersubsidi digunakan naik mendadak sekitar 80 peratus iaitu daripada 6.1 bilion liter pada 2019 kepada 10.8 bilion liter pada 2023 walaupun tiada peningkatan kenderaan diesel baharu yang ketara dalam tempoh sama.

Pada masa sama, katanya jumlah jualan diesel komersial tanpa subsidi pula turun sebanyak dua bilion liter dalam tempoh berkenaan.

“Peningkatan penggunaan diesel bersubsidi yang amat ketara ini disebabkan jurang perbezaan harga besar antara harga komersial dengan harga runcit diesel bersubsidi di pam Malaysia. 

“Sebelum ini, harga diesel bersubsidi pada RM2.15 seliter iaitu antara termurah di dunia sedangkan harga komersial telah mencecah RM3.50 seliter,” katanya.-BH Online