Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Sebanyak RM272.6 juta pembiayaan disalurkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) kepada seramai 13,091 usahawan Johor setakat Januari hingga Mei tahun ini.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick, berkata pembiayaan itu membabitkan nilai RM81.5 juta kepada 10,762 Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan TEKUN Nasional (pembiayaan RM41.8 juta kepada 2,083 usahawan).

Katanya, pembiayaan juga diberikan Bank Rakyat kepada 297 usahawan dengan nilai RM57.3 juta.

“Selain itu SME Bank juga meluluskan pembiayaan berjumlah RM91.4 juta kepada 37 usahawan dan Perbadanan Nasional Bhd (Pernas) dengan pembiayaan francais kepada dua syarikat berjumlah RM660,000.

“Pada tahun lalu, KUSKOP menerusi agensi juga menyalurkan pembiayaan kepada usahawan dan koperasi berjumlah RM771.4 juta di Johor dan RM165.8 juta di Melaka.

“Pada hari ini, sebanyak RM25.7 juta bantuan cek pembiayaan diberikan kepada 389 usahawan yang layak ,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penutup Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Wilayah Selatan dan Festival Keusahawanan Maju Johor 2024 di Angsana Johor Bahru Mall di sini, hari ini.

Menurut Ewon, Showcase SDSI wilayah Selatan yang berlangsung tiga hari bermula Jumaat lalu berjaya mencatat jualan tunai sebanyak RM1.13 juta, melepasi sasaran awal RM1 juta.

Katanya, selain itu berjaya mencatatkan potensi pembiayaan RM23.9 juta dan potensi padanan perniagaan RM17 juta.

“Sejumlah RM9.221 juta potensi jualan padaniaga turut berjaya dicatatkan dalam showcase wilayah selatan.

“Kementerian komited meneruskan program ini sebagai pemangkin dalam meningkatkan imej produk serta perkhidmatan SDSI, agar produk ini bukan sahaja menjadi jaguh di rantau ini tetapi mendapat tempat dan permintaan tinggi di peringkat antarabangsa,” katanya.-BH Online