Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Malaysia akan mendapatkan maklumat daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berhubung situasi Sindrom Kejutan Toksik Streptococcal (STSS) atau ‘jangkitan bakteria pemakan daging’ yang membimbangkan di Jepun ketika ini. 

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, maklumat itu amat penting agar negara dapat mengambil langkah awal kawalan pencegahan yang sewajarnya.

“Kita belum dapat apa-apa maklumat atau perkembangan (STSS). Mungkin juga kita memerlukan input daripada WHO. Ia sangat mustahak. 

“Itu sebab platform antarabangsa seperti WHO, IHR (Peraturan Kesihatan Antarabangsa) dan persediaan pandemik itu mustahak,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran mybrp@CKAPS di sini hari ini.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan (KKM) bersedia untuk mengambil langkah seterusnya sebaik menerima maklumat dan perkembangan berhubung situasi tersebut. 

“Buat masa ini, ia (kes) belum sampai lagi kepada CPRC (Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan) atau bahagian jangkitan kita,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan berdasarkan data Institut Penyakit Berjangkit Nasional (NIID), Jepun mencatatkan kes STSS melebihi 1,000 pada tahun ini.

Setakat 9 Jun lalu, jumlah kes di negara itu sejak awal tahun 2024 mencecah 1,019 dan menunjukkan peningkatan ketara dalam penyebaran jangkitan bakteria yang teruk ini berbanding tahun sebelumnya.

STSS juga dikenali sebagai jangkitan streptokokus invasif teruk adalah penyakit yang bermula secara tiba-tiba disebabkan oleh Streptokokus Kumpulan A dan ia tersebar terutamanya melalui titisan daripada mukosa hidung atau tekak dan melalui sentuhan dengan luka.

Gejala awal biasanya termasuk sakit tekak, demam, hilang selera makan, cirit-birit, muntah dan masalah gastrousus lain, serta gejala septik seperti tekanan darah rendah.

Jika tidak dirawat dengan segera, ia boleh menyebabkan kerosakan tisu lembut, kegagalan pernafasan, kegagalan hati, kegagalan buah pinggang dan kegagalan pelbagai organ dengan kadar kematian melebihi 30 peratus.

Sementara itu, berhubung mybrp@CKAPS, Dr Dzulkefly berkata, sistem yang dibangunkan oleh Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS), Bahagian Amalan Perubatan itu adalah sistem aplikasi dalam talian untuk permohonan di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586].

“Bagi permulaan Fasa 1(a), sistem berkenaan melibatkan Modul Pembaharuan Lesen Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta bagi menggantikan proses kerja manual dan dijangka dapat meningkatkan kecekapan pemprosesan permohonan, seterusnya mempercepat proses pengeluaran lesen.

“Kalau dulu, ia diurus penyambungan (pengeluaran lesen) lapan bulan, saya dapat komitmen daripada seluruh pasukan CKAPS bahawa mereka bertekad untuk menurunkan waktu mengurus (lesen) hanya kepada tiga bulan. KPI (indeks petunjuk prestasi) dua hingga tiga bulan. Banyak penjimatan kepada pemain industri fasiliti kesihatan swasta,” ujarnya.

Modul pembaharuan lesen berkenaan boleh diakses mulai 1 Julai ini di laman sesawang https://www.mybrp.moh.gov.my dan dibuka kepada pemohon daripada fasiliti kesihatan swasta yang memegang lesen premis yang akan luput antara 1 Januari 2025 hingga 1 Mac 2025. – MalaysiaGazette