Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Mengangkat tema Kilauan Prestij, Citra Kegemilangan, Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2024 yang memasuki edisi ke-36 menjadi inisiatif penting kerajaan melalui Kementerian Komunikasi bagi mengiktiraf, memartabatkan industri penyiaran dan penggiat seni di balik tabir.

Sejajar itu, tema dipilih ASA 2024 membawa makna yang mendalam dan simbolik terhadap usaha mengiktiraf dan memartabatkan industri penyiaran tanah air.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, berkata Kilauan Prestij menggambarkan keunggulan, kemegahan dan nilai eksklusif yang dimiliki oleh anugerah yang dianjurkan sejak 1972.

“Seperti berlian bersinar terang dan berharga, ASA adalah anugerah tertinggi yang mencerminkan kecemerlangan dan prestij dalam industri penyiaran. Manakala, Citra Kegemilangan merujuk kepada pencapaian gemilang, dedikasi dan sumbangan berharga penggiat seni di sebalik tabir yang memberikan impak besar kepada perkembangan serta kemajuan industri penyiaran negara.

“Penganjuran ASA akan terus diraikan pada setiap dua tahun sekali dan menjadi program tetap kerajaan melalui Kementerian Komunikasi.

“Oleh itu, pencalonan ASA 2024 akan dibuka antara 1 hingga 15 Julai ini. ASA 2024 mempertandingkan 60 kategori, iaitu 40 kategori televisyen (TV), 16 kategori radio dan empat kategori media baharu.

“ASA 2024 turut memperkenalkan kategori baharu di bawah media baharu, iaitu Podcast Terbaik. Di samping itu, dua kategori khas iaitu Anugerah Khas Juri dan Tokoh Seri Angkasa juga ditampilkan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 62 kategori,” katanya pada sidang media ASA 2024 di Kompleks Kementerian Komunikasi, Putrajaya, baru-baru ini. 

Nie Ching berkata, syarat utama penyertaan ASA 2024 ialah semua pencalonan perlu dikemukakan melalui organisasi penyiaran berlesen dan kali pertama disiarkan di stesen penyiaran dan platform media baharu dalam tempoh antara 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2023.

“Semua penyiar boleh menyediakan bahan pencalonan dalam tempoh lebih dua minggu memandangkan sistem hanya akan dibuka selepas 16 hari dari tarikh 14 Jun lalu.

“Secara keseluruhan, tempoh selama satu bulan diberikan sehingga sistem pencalonan ditutup pada 15 Julai ini dan diharap dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Sementara itu, mengulas kategori baharu di bawah media baharu iaitu Podcast Terbaik, Nie Ching berkata, ia bertujuan menyemarakkan penghasilan podcast atau audio siar yang berkualiti. 

“Saya rasa podcast adalah suatu ‘trend’ baharu. Bila ada kategori media baharu, format akan berubah, lebih lagi, kami melihat podcast sangat popular dan banyak kandungan bagus. 

“Kami sediakan satu kategori secara keseluruhan untuk podcast. Kalau penyertaan tinggi, kami percaya boleh tambah baik lagi, sekarang kategori masih baharu, jadi kami gabungkan dalam satu kategori,” katanya.

Justeru, Nie Ching berharap penganjuran ASA 2024 memberi suntikan semangat kepada penggiat industri penyiaran untuk terus berkarya dan menerbitkan kandungan kreatif penyiaran berkualiti tinggi dan bertaraf antarabangsa, sekali gus memberikan impak serta peningkatan peluang pekerjaan.

Sementara itu, Setiausaha Bahagian Pembangunan Kandungan Kementerian Komunikasi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pencalonan ASA 2024, Norhadznita Mohammad Ilham, berkata syarat penyertaan podcast adalah semua pencalonan perlu dikemukakan melalui organisasi penyiaran berlesen. 

“Podcast itu mestilah bersiaran di bahawa penyiar berlesen daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). Ia bukan podcast peribadi sebab ini adalah pengiktirafan daripada kerajaan,” katanya.

Mengulas sama ada akan meneliti mengenai Dana Kandungan Kreatif untuk Podcast Terbaik, Norhadznita berkata, pihaknya akan menambah baik dari semasa ke semasa. 

“Pada 2022, kami sudah memberikan Dana Kandungan Kreatif menerusi kategori Drama Terbaik dan Dokumentari Terbaik. Jadi, ia ditambah baik dari semasa ke semasa. 

“Ini disebabkan ASA bukan berdasarkan populariti, tetapi kualiti. Jika dicalonkan dalam ASA bermakna berada di tahap berbeza sebab penjurian dibuat oleh pakar,” katanya. 

Katanya, hadiah kemenangan berbentuk Dana Kandungan Kreatif untuk kategori terpilih ASA 2024 akan diagihkan lebih sistematik, tahun ini.

Sepanjang tempoh pencalonan, Kementerian Komunikasi turut menyediakan kemudahan untuk mengakses dan mengemukakan pencalonan melalui sistem ASA 2024 di Makmal Komputer B, Aras 19, Kompleks Kementerian Komunikasi.

Stesen penyiaran kerajaan dan swasta dipelawa untuk merujuk dan mengemukakan pencalonan bagi 60 kategori secara dalam talian melalui laman sesawang www.anugerahseriangkasa.gov.my.-BH Online