Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Hasrat Malaysia untuk menyertai organisasi antara kerajaan BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) bagi membolehkan ruang menyuarakan pelbagai isu di peringkat antarabangsa dapat dilakukan dengan lebih efektif berbanding secara bersendirian.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata untuk itu Malaysia sedang menganalisis, memantau dan melihat kesediaan untuk menjadi anggota BRICS, jika ia mendatangkan banyak faedah kepada negara ini.

Katanya, tiga faktor utama menjadi asas kepada penyertaan Malaysia dalam blok berkenaan iaitu kepentingan dan faedah yang bakal diperoleh selain impak daripada penyertaan itu terutama dari segi ruang untuk menyuarakan hasrat negara membabitkan pelbagai isu di peringkat antarabangsa.

“Kita sedang menganalisis, meneliti dan melihat keperluan untuk membuat permohonan bagi menyertai anggota blok berkenaan (BRICS).

“Melalui menyertai blok berkenaan, Malaysia dapat menyuarakan apa juga isu di peringkat antarabangsa kerana melaluinya suara berkenaan lebih berkesan daripada bersendirian.

“Bukan kita nak bermegah-megah untuk menjadi anggota BRICS tetapi ia lebih kepada faedah kerana ada juga negara anggota yang keluar daripada blok berkenaan kerana merasakan sudah tidak bermakna lagi (berada dalam blok berkenaan),” katanya kepada media di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Pelancaran Kampung Angkat Madani dan Ibadah Korban Aidiladha Kementerian Luar di Kampung Kanchong Rantrau, di sini, hari ini.

Sebanyak tujuh ekor lembu dikorbankan pada majlis berkenaan.

Mohamad mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Malaysia akan memulakan prosedur rasmi untuk menyertai organisasi antara kerajaan BRICS tidak lama lagi.

Anwar dilaporkan berkata, kerajaan telah mengambil keputusan yang sewajarnya dan akan melancarkan proses rasmi serta sedang menunggu keputusan akhir dan maklum balas daripada kerajaan Afrika Selatan.

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau, berkata Malaysia perlu menyertai blok tertentu untuk bersuara di pentas dunia kerana dunia sekarang berada dalam pelbagai blok.

“Sebagai contoh, blok ASEAN, sebagai negara berkelompok serantau yang mempunyai suara yang besar dengan jumlah penduduk lebih 700 juta dan mempunyai GDP yang keempat terbesar di dunia.

“Jadi, gabungan ASEAN itu sebagai suatu suara yang kuat, pentas yang kukuh untuk Malaysia berada sebagai salah satu negara yang menyertai blok ASEAN ini. Ini impaknya,” katanya.

Mengenai lawatan Perdana Menteri China, Li Qiang ke negara ini bermula hari ini, Mohamad berkata, ia adalah untuk memperkukuh hubungan dua hala dan memperingati ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China.

Katanya, hubungan diplomatik kedua-dua negara dapat diperkasakan lagi melalui lawatan pemimpin terbabit.

“Ia terutama membabitkan dagangan dua hala kerana negara China sebuah dagangan terbesar dan dekat dengan Rantau kita, jadi banyak perkara yang boleh kita rundingkan dan pertingkatkan demi kebaikan kedua-dua negara,” katanya.-BH Online