Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kerajaan akan meneliti segala implikasi yang berlaku sekiranya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diletakkan di bawah Parlimen. 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perkara itu harus dibincangkan terlebih dahulu memandangkan ada dalam kalangan ahli politik berada dalam radar SPRM.

” Itu harus kita bincang (cadangan letak SPRM) di bawah Parlimen, kerana ahli politik ini kadang-kadang (ada juga yang) dipantau.

“Jadi kita kena teliti implikasi sebab ahli politik sekiranya diberi kuasa itu berada dalam radar SPRM, maka kita kena teliti syarat-syarat ketat,” katanya diminta mengulas berhubung cadangan meletakkan SPRM di bawah Parlimen.

Sebelum itu Anwar ditemui ketika menghadiri kenduri korban yang dianjurkan kenalan lamanya, Hamzah Mat Isa di Mengkuang Semarak, hari ini. 

Mengulas lanjut, Anwar berkata, biarpun SPRM tidak diletakkan di bawah Parlimen, menjadi tanggungjawab badan berkanun itu untuk menyiasat dan mendakwa mereka yang menyalahgunakan kuasa. 

“Sekarang ini yang penting siasat dan ada bukti yang nyata, …yang kena dakwa, … jawab, itu yang penting. Kemudian gunakan teknikal argument (hujah), jangan lari dari kenyataan. 

“Saya tak peduli, dan kalau ada bukti jangan reka, jangan naya (aniaya) ada bukti jawab, ada fakta jawab, itu yang penting,” katanya. 

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika menjadi tetamu dalam satu program podcast New Straits Times (NST) memaklumkan bahawa beliau tidak bersetuju dengan cadangan untuk meletakkan SPRM di bawah Parlimen. 

Ini kerana, Azam berkata SPRM satu-satunya agensi dipantau lima badan bebas berbanding Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah (ICAC) Hong Kong yang dipantau empat badan Pengawasan. 

Sementara itu, Anwar dalam ucapannya berkata, beliau tidak pernah melihat SPRM ‘garang’ dalam mengambil tindakan terhadap mereka yang terpalit rasuah. 

“Saya tengok SPRM tidak pernah dalam sejarah garang macam sekarang. (Dalam hal ini) kita kena jaga imej kita, …(bila) orang takdak (tiada) keyakinan (susah) dan (kita pula) tak cukup duit nak tolong rakyat,” katanya.