Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi penegasan bahawa Malaysia tidak ‘fobia China’ sebaliknya menganggap negara itu penting sebagai rakan perdagangan yang hebat.

Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, Malaysia bersedia meluaskan lagi kerjasama dengan negara Tembok Besar berkenaan.

Beliau yang sebelum ini mengkritik gelombang ‘China-phobia’ yang semakin menular di negara Barat, menjelaskan selain aspek perdagangan dan pelaburan, Malaysia juga bersedia bekerjasama dalam bidang seni, pendidikan, sains, teknologi dan kecerdasan buatan (AI).

“Kami selesa dengannya (hubungan dengan China),” jelas Anwar dalam satu temu bual bersama Guancha, syarikat penerbitan berpangkalan di Shanghai, China.

null

Menurut Perdana Menteri, jika ada negara yang mempunyai keazaman untuk mengukuhkan semangat global selatan, mereka perlu memainkan peranan.

“Semasa sesi di San Francisco, di hadapan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dan Presiden China, Xi Jinping, saya kata saya berasa lega dua pemimpin hebat bertemu dan berharap ia adalah untuk kebaikan,” katanya.

China melalui Menteri di Kedutaan China di Malaysia, Zheng Xuefang sebelum ini menghargai pendirian Perdana Menteri mengenai isu ‘fobia China’ oleh AS dan sekutunya.

Malaysia sebelum ini turut berpendirian akan tetap meneruskan hubungan kukuh dengan kedua-dua negara, iaitu China dan AS tanpa didesak untuk memilih satu pihak berbanding yang lain.-BH Online