Perdana Menteri China, Li Qiang akan mengadakan lawatan rasmi selama tiga hari ke Malaysia mulai esok untuk memperkukuh hubungan dua hala dan memperingati ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China.
Ini lawatan pertama beliau ke Malaysia sejak memegang jawatan pada Mac 2023, satu peristiwa yang sangat signifikan yang menurut penganalisis, akan meningkatkan hubungan strategik komprehensif ke tahap baharu.
“China berharap dapat bekerjasama dengan Malaysia melalui lawatan ini, untuk meneruskan persahabatan tradisional, memperdalam dan mengembangkan kerjasama dalam pelbagai bidang.nullnull
“Memperkukuh dan memantapkan komuniti China-Malaysia dengan masa depan bersama dan bersama-sama membuka lembaran baharu 50 tahun hubungan dua hala yang lebih gemilang,” kata jurucakap Kementerian Luar China, Lin Jian semasa sidang akhbar di Beijing sebelum ini.
Lawatan Li Qiang akan memberikan peluang yang baik bagi Malaysia dan China untuk menilai kemajuan dalam hubungan dan kerjasama dua hala yang pelbagai serta meneroka peluang perkongsian baharu pada masa hadapan.
Presiden Center For New Inclusive Asia, Prof Koh King Kee, berkata lawatan itu penting dalam menandakan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China, sambil menekankan kepentingan yang diberikan oleh kedua-dua negara terhadap hubungan dua hala.
Lawatan itu juga, katanya, dijangka meningkatkan lagi kepercayaan politik antara kedua-dua negara dan mengukuhkan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun depan.
“Lawatan ini dijangka meningkatkan hubungan dua hala ke tahap baharu, memandangkan pemimpin kedua-dua negara komited untuk membina komuniti Malaysia-China dengan masa depan bersama, membawa lebih banyak manfaat kepada rakyat kedua-dua negara,” kata King Kee.
Semasa lawatannya ke Malaysia, Li Qiang dijadual menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan menghadiri mesyuarat peringkat tinggi dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ini akan menandakan pertemuan ketiga Anwar dan Li Qiang selepas pertemuan mereka sebelum ini pada April 2023 semasa lawatan rasmi pertama Anwar ke China dan kemudian pada September 2023 di Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) ke-20 di Nanning.
Beberapa perjanjian dua hala dan memorandum persefahaman (MoU) dijangka turut ditandatangani semasa lawatan Perdana Menteri China itu.
Li Qiang juga dijadual melawat tapak pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Gombak, satu projek infrastruktur utama di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan yang diterajui Beijing, selain menghadiri majlis makan malam sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik.
Pada acara makan malam, sebuah buku peringatan yang menandakan lima dekad hubungan yang berkekalan akan dilancarkan. Buku itu diterbitkan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) dengan kerjasama Kementerian Luar Malaysia.
Li Qiang, 65, akan menjadi pemimpin politik tertinggi China yang melawat Malaysia dalam tempoh hampir sedekad.
Bekas Perdana Menteri China, Li Keqiang melawat Malaysia pada November 2015 untuk menghadiri mesyuarat pemimpin Asia Timur, manakala Presiden Xi Jinping melawat Malaysia pada Oktober 2013, yang membawa kepada peningkatan hubungan dua hala kepada Perkongsian Strategik Komprehensif.
Malaysia dan China menjalin hubungan diplomatik secara rasmi pada 31 Mei 1974. Sepanjang lima dekad lalu, kedua-dua negara membina hubungan yang kukuh dan signifikan melangkaui bidang politik, ekonomi, pendidikan dan pelancongan.
Tahun-tahun kebelakangan juga menyaksikan peningkatan kerjasama dalam sains dan teknologi serta minat yang semakin meningkat dalam pertukaran antara rakyat, budaya, makanan dan promosi hiburan.
China menjadi rakan dagang terbesar Malaysia selama 15 tahun berturut-turut sejak 2009. Pada 2023, jumlah dagangan dengan China bernilai RM450.84 bilion (AS$98.80 bilion), menyumbang 17.1 peratus daripada perdagangan global Malaysia.-BH Online