Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan aspek keselamatan pada tahap tertinggi sepanjang perjalanan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, seramai 600 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan bagi mengawal keselamatan sepanjang tempoh terbabit.

Persiapan penugasan polis dibahagikan kepada tiga fasa bermula hari ini hingga hari pengundian.

“Kita juga akan menasihati semua pihak berkepentingan yang terlibat supaya mematuhi undang-undang keselamatan dalam negara agar perjalanan semasa kempen tidak berlaku perkara-perkara yang dianggap sebagai mencetuskan ketidaktenteraman.

“Jadi itu tujuan saya diberi taklimat oleh pasukan polis Pulau Pinang hari ini,” katanya.

Menurutnya, taklimat mengenai persiapan dan aspek keselamatan itu diberikan oleh Ketua Polis negeri, Datuk Hamzah Ahmad.

Saifuddin yang juga Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) dan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) ditemui pemberita selepas majlis perjumpaan bersama masyarakat India di Sungai Bakap di sini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai depan, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal pada 22 Jun dan 2 Julai.

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.-Berita RTM