Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menekankan aspirasi Malaysia untuk menganjurkan Tahun Kemahiran ASEAN 2025 dengan kerjasama Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Ia diputuskan dalam sesi perbincangan bersama sembilan pemimpin ASEAN, di Geneva, semalam.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim yang mewakili negara menekankan aspirasi Malaysia itu.

KESUMA dalam kenyataan memaklumkan, perkara itu akan membuka jalan bagi kementerian serta jabatan dan agensi seperti Human Resource Development Corporation (HRD Corp) untuk menerajui pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kemahiran dan pengetahuan tenaga kerja ASEAN.

“Ia juga akan menggalakkan pelaburan ke dalam tenaga kerja ASEAN dengan mengutamakan pembangunan kapasiti, pendidikan, dan pembangunan kemahiran untuk tenaga kerja yang bersedia menghadapi masa depan. 

“Ia akan dilakukan dengan tumpuan khusus pada bidang yang sedang meningkat naik seperti Kecerdasan Buatan (AI) dan teknologi semikonduktor,” katanya. 

Steven pada sesi berkenaan berkata sebagai pihak yang bertanggungjawab terhadap pembangunan dan pengurusan sumber manusia di Malaysia, KESUMA komited untuk memupuk tenaga kerja Malaysia yang kompeten, produktif, responsif dan berdaya tahan yang boleh bersaing dengan berkesan di pasaran global. 

“Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan semua pemimpin ASEAN dalam mencapai aspirasi ini menerusi Tahun Kemahiran ASEAN 2025.

“Saya yakin, melalui program-program yang telah dikenal pasti, kami dapat memudahkan pertukaran pengetahuan dan perkongsian amalan terbaik untuk meningkatkan kemahiran dan produktiviti tenaga kerja kami,” katanya.

Steven berkata, pihaknya dapat memupuk kerjasama dan perkongsian yang lebih kukuh antara negara anggota dalam melaksanakan strategi jangka panjang ke arah pembangunan modal insan.

Sesi perbincangan pemimpin ASEAN berkenaan turut dihadiri oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Brunei, Datuk Awang Ahmaddin Abd Rahman; Menteri Tenaga Kerja Singapura, Dr Tan See Leng dan Timbalan Menteri Tenaga Kerja Indonesia, Afriansyah Noor.

Tahun Kemahiran ASEAN 2025 akan merangkumi pelbagai program dan inisiatif di seluruh Asia Tenggara termasuk National Human Capital Conference & Exhibition (NHCCE), acara utama tahunan HRD Corp yang menghimpunkan tokoh industri dari seluruh dunia untuk membincangkan cabaran dan peluang dalam pembangunan modal insan. 

Pada 2024 dan 2025, NHCCE akan menumpukan keutamaan kepada masa depan pekerjaan untuk rantau ASEAN.

Sementara itu, Ketua Kemahiran dan Kebolehkerjaan ILO, Srinivas Reddy, yang turut hadir pada perbincangan tersebut berkata, beliau percaya inisiatif itu akan memberikan impak positif kepada rantau ini.

“Malaysia menunjukkan kemajuan yang cemerlang dalam usahanya untuk mempromosikan pembelajaran dan latihan kemahiran sepanjang hayat kepada rakyat di bawah pimpinan dan visi Menteri Sumber Manusianya. 

“Saya yakin bahawa ia akan berjaya memacu agenda pembangunan kemahiran untuk ASEAN tahun depan, selaras dengan kedudukannya mempengerusikan ASEAN,” ujarnya.

Dalam pada itu, Srinivas turut berkongsi pengalamannya dalam menganjurkan Tahun Kemahiran Eropah pada 2023 dan 2024 serta kesan positif inisiatif tersebut kepada kerajaan, perniagaan dan bakat di seluruh rantau berkenaan.

Perjumpaan itu adalah sebahagian daripada lawatan empat hari Steven ke Geneva yang merangkumi pengesahan Malaysia terhadap Konvensyen Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1981 (Konvensyen 155) ILO, penyampaian ucapan oleh menteri pada Persidangan Buruh Antarabangsa ke-112, serta lawatan bersama rakan kongsi dan orang kenamaan antarabangsa.-BH Online