Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kerajaan meluluskan peruntukan RM4 billion untuk pelaksanaan projek penyaluran air mentah dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia bagi menyediakan bekalan air terawat ke utara Perak dan Pulau Pinang.

Projek itu sebahagiannya akan dilaksana untuk menyokong projek Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) di Kerian.

“Oleh kerana itu, air terawat memenuhi keperluan rakyat dan keperluan KIGID. KIGID memerlukan jumlah air yang cukup besar, kalau kita sebut data centre plus ai, itu keperluan tenaga.

“Keperluan air sangat besar maka ia dapat dipenuhi dengan pengurusan air dan juga beberapa program tempatan. Ia menggunakan jalur dari Bukit Merah ke Kerian untun memenuhi keperluan KIGID dan dari Kerian terus ke Seberang Perai,” katanya ketika berucap merasmikan Pelancaran Pelan Induk KIGIP di Dewan Dato’ Zainal Abidin Zin, di sini.

Pada masa sama Anwar menyifatkan Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP) antara projek penting kepada pembangunan dan pelaburan negara.

Perkara itu disebabkan projek taman perindustrian itu akan dijana oleh tenaga solar sebagai sumber tenaga hijau utama selain meliputi teknologi canggih seperti kecerdasan buatan (AI) dan peralihan tenaga yang seiring dengan hasrat kerajaan.

“Projek sangat penting kepada negara kita amanah kepada satu badan PNB yang memegang amanah bagi bumiputera. Kita mahu ia berjaya dengan tahap dan kecekapan dan prestasi yang sanga baik.

“Kerajaan akan memberi tumpuan untuk memastikan ia berjalan dan siap lebih cepat daripada yang diunjurkan pada peringkat awal,” katanya lagi.

Pada masa sama, beliau juga mahu syarikat terlibat memberi keutamaan kepada tenaga kerja tempatan khususnya di Perak.

Untuk menyokong pembangunan KIGIP, kelulusan cadangan membina susur keluar dari KIGIP ke Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) yang dianggarkan menelan kos RM60 juta, akan dipercepat.

“Ikut cadangan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad tentang cadangan bertukar susur keluar di lebuh raya. Perkara itu mudah kita luluskan, saya fikir kerana ini satu keperluan KIGID. Ia menjadi salah satu tonggak kepada pembangunan dan pelaburan negara,” katanya.

Antara lokasi susur keluar yang dicadangkan ialah 3.6 kilometer dari Plaza Tol Alor Pongsu arah utara.

Pembinaannya akan memberi manfaat kepada penduduk di Bagan Serai, Kampung Sungai Bogak, Kampung Tali Air dan Pekan Simpang Lima.