Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat lebih 100 syarikat ‘forwarding’ yang dikesan terlibat dalam menyeludup barang-barang import dengan membuat pengisytiharan cukai palsu.
Siasatan dilakukan berkait kes rasuah membabitkan ketirisan dianggarkan berjumlah RM3.5 bilion di Pelabuhan Klang sejak 10 tahun lepas serta satu lagi kes ketirisan hasil cukai sebanyak RM2 bilion di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata siasatan dibuat susulan penahanan 34 anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di KLIA serta terbaru, 11 lagi pegawai JKDM terkait kes kontena terbang di Pelabuhan Klang.
“Banyak (syarikat). Kita ada senarai lebih 100 syarikat. Siasatannya sangat kompleks sebab ia melibatkan penyiasatan kewangan. Kita menyiasat pihak syarikat terutama ejen ‘forwarding’ kerana wang yang disalurkan ini membabitkan ejen ‘forwarding’ dan syarikat berkaitan.
“Kita sedang menyiasat kewangan syarikat. Ini tindakan pengesanan seterusnya dan ke arah pertuduhan pada masa akan datang. Pengesanan ke atas syarikat ini memberi sisi berbeza dengan kes melibatkan kakitangan kerajaan,” katanya ditemui selepas menjadi tetamu program bual bicara terbitan NST di Balai Berita The News Straits Times Press (NSTP), hari ini.
Mengulas lanjut, Azam berkata, SPRM juga akan melibatkan JKDM dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam siasatan berkenaan.
“Kita sedang ambil tindakan ke atas mereka dan membawa Kastam untuk masuk bersama menyiasat serta LHDN untuk menyiasat kewangan mereka. Apa yang kita mahu lihat, berapa banyak yang mereka bayar untuk aktiviti haram ini.
“Contohnya mereka bayar RM10 juta, apa yang kita mahu mereka bayar semula RM10 juta ini kepada kerajaan, sebab mereka sudah lari daripada membayar cukai.
SPRM akan jejak sumber kewangan
Susulan penahanan 11 pegawai kastam serta rampasan RM4.4 juta wang tunai, kenderaan mewah, geran tanah dan motosikal, Azam berkata, siasatan seterusnya bagi menjejaki dari mana harta dan wang ini diperoleh.
“Pegawai penyiasat akan siasat lebih lanjut. Pertama, di mana harta-harta yang lain. Kedua, mana wang diperoleh untuk membeli aset ini. Ketiga, wang ini siapa yang memberi dan sebagainya. Dalam membuktikan kes rasuah, penting untuk tahu wang itu berasal dari mana.
“Bila wang sebegitu banyak, wujud satu lagi penyiasatan iaitu mereka kena memperjelaskan daripada mana punca wang ini dan daripada mereka boleh ada kemewahan seperti ini,” katanya.
Beliau turut tidak menolak kemungkinan untuk mengarahkan semua yang ditahan supaya membuat perisytiharan harta dalam tempoh tertentu selaras Seksyen 36 Akta SPRM 2009.-BH Online