Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memanggil 10 syarikat yang membuat pengumuman menaikkan harga barang dan perkhidmatan masing-masing pasca penyasaran subsidi diesel yang bermula 10 Jun lalu.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata semua 10 syarikat itu dipanggil untuk memberikan penjelasan mengenai kewajaran tindakan itu.
Mengulas lanjut, katanya notis bertulis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 sudah diberikan kepada semua syarikat terbabit, dengan dua daripadanya sudah dipanggil semalam dan selebihnya akan menyusul.
“Semua 10 syarikat itu akan diminta memberikan perincian maklumat termasuk dokumen-dokumen berkaitan penawaran perkhidmatan atau penjualan barangan bagi tujuan penyediaan analisis pencatutan.
“Kegagalan untuk hadir boleh dikenakan penalti di bawah Seksyen 57 Akta 723 berkenaan,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan siasatan awal mendapati permohonan fleet card oleh empat daripada 10 syarikat berkenaan sudah pun diluluskan, namun mereka tetap mengeluarkan notis bagi kenaikan barang dan perkhidmatan.
“Sementara baki enam syarikat lagi mempunyai kenderaan yang tidak termasuk dalam senarai Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0,” katanya.
Beliau berkata, daripada 10 syarikat itu masing-masing membabitkan sektor pengangkutan dan bahan binaan, manakala masing-masing dua meliputi sektor makanan dan minuman dan sektor sewaan jentera .
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melancarkan OPS KESAN 2.0 pada 8 Jun lalu.
Sehubungan itu, Armizan berkata KPDN memberikan amaran kepada semua pihak supaya tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barang dan perkhidmatan dengan elemen pencatutan susulan penyasaran subsidi diesel yang dilaksanakan kerajaan.
Beliau berkata, pihak yang didapati mengambil kesempatan dengan melakukan manipulasi harga akan dikenakan tindakan yang tegas di bawah Akta 723 dan boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 bagi perbadanan atau syarikat, manakala bagi individu boleh didenda hingga RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.-BH Online