Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming merasmikan dan melaksanakan upacara pecah tanah bagi projek Bandar PR1MA Teluk Intan oleh Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) agensi perumahan mampu milik utama di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Projek Bandar PR1MA adalah inisiatif pembangunan bersepadu pertama oleh PR1MA, direka bentuk untuk mempromosikan kehidupan yang mesra alam dan inklusif, serta memenuhi keperluan keluarga moden.

Terletak di atas tanah seluas lebih 56.7 hektar milik PR1MA, projek itu adalah yang terbesar setakat ini dan ia mengandungi komponen pembangunan seperti taman perumahan, pusat komersial, taman rekreasi, serta pelbagai kemudahan komuniti. 

Selain menyediakan lebih 1,500 unit kediaman berfasa, projek itu juga akan dilengkapi pelbagai kemudahan komuniti seperti dewan serbaguna, masjid, tadika dan taska, serta taman rekreasi berpusat.

Pemandangan tasik dan landskap panoramik serta ruang aktiviti yang dikelilingi trek pejalan kaki dan premis perniagaan dijangka akan turut menjadi nilai tarikan utama projek itu.

Ciri-ciri komprehensif ini menghasilkan satu pembangunan dan komuniti yang inklusif bagi meningkatkan lagi kualiti kehidupan rakyat, berlandaskan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG). 

Kor Ming berkata, projek Bandar PR1MA itu bakal menjadi mercu tanda bukan saja untuk penduduk Teluk Intan, malah seluruh Malaysia kerana ia akan menjadi tanda aras baharu dalam perubahan landskap perumahan di Malaysia dengan pembangunan projek Bandar PR1MA yang lain pada masa hadapan. 

“Dengan adanya majlis pecah tanah Bandar PR1MA Teluk Intan serta penyerahan dokumen memorandum persefahaman (MOU) hari ini, kita dapat menyaksikan permulaan fasa yang baharu dalam usaha kerajaan untuk menyediakan perumahan mampu milik yang moden dan mampan serta terletak dalam komuniti yang merangkumi semangat Malaysia MADANI.

“Saya berharap, semua pihak akan terus bekerjasama dengan KPKT demi merealisasikan impian rakyat Malaysia untuk memiliki rumah mampu milik yang berkualiti tinggi, selesa, dan mampan di dalam komuniti yang sejahtera secara fizikal, sosial dan rohani,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan merangkap Anggota Perbadanan PR1MA, Datuk Seri Mohd Nazri Md Shariff, berkata Bandar PR1MA Teluk Intan itu adalah sebahagian daripada program PR1MA untuk menyediakan 37,526 unit rumah baharu menjelang 2029 bagi menyokong agenda perumahan negara. 

Beliau berkata, PR1MA amat berterima kasih dengan sokongan dan kerjasama daripada KPKT, Kerajaan Negeri Perak, Pihak Berkuasa Tempatan serta semua pihak berkepentingan untuk menjayakan projek itu.

Katanya, tujuan penubuhan PR1MA bukan saja untuk membina rumah mampu milik, tetapi juga untuk membentuk komuniti moden dan inklusif. Ini termasuk menyediakan kemudahan yang mampu membina suasana komuniti yang selesa dan harmoni.

“Konsep MADANI menjadi landasan utama untuk mencapai matlamat jangka panjang PR1MA untuk menyediakan perumahan mampu milik bagi seluruh rakyat Malaysia.

“Justeru, Bandar PR1MA bakal menjadi mercu tanda baharu di Teluk Intan dengan gaya hidup moden dan mampan, dengan kediaman-kediaman yang berkualiti tinggi, berdaya huni tinggi, dan infrastruktur mesra alam,” katanya.

Majlis itu juga menyaksikan sesi penyerahan dokumen MOU antara PR1MA dengan Cagamas Bhd berkaitan penyelesaian pembiayaan perumahan, termasuk pembiayaan hijau, khususnya untuk memenuhi keperluan

pembeli rumah bagi semua projek PR1MA. 

Manakala, penyerahan MOU lain membabitkan Bank Muamalat Malaysia Bhd, MBSB Bank Bhd, Bank Simpanan Nasional, Koperasi Co-opbank Pertama Malaysia Bhd dan Affin Islamic Bank Bhd menawarkan pinjaman kewangan holistik yang akan memberi penyelesaian kewangan bukan saja kepada pembeli kediaman PR1MA tetapi juga bertujuan untuk pembangunan projek PR1MA yang akan datang.-BH Online