Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, merumuskan lawatan kerjanya ke Turkiye selama lima hari sejak Ahad lalu sebagai mencapai matlamat, bermakna, bernilai dan bermanfaat untuk industri pertahanan negara.

Beliau berkata, hasil lawatan itu juga dapat mengukuhkan lagi hubungan pertahanan antara kedua-dua negara, selain usaha Malaysia untuk membangunkan industri pertahanan negara mendapat sokongan padu Turkiye.

“Secara umum, kita berpuas hati dan berterima kasih kepada semua yang turut terbabit menjayakan program ini.

“Lawatan ini bersifat mendapatkan maklumat serta menyentuh soal pembangunan industri pertahanan, termasuk meningkatkan kerjasama dalam bidang pertahanan,” katanya pada sidang media, di sini.

Hari ini adalah hari terakhir lawatan rasmi Mohamed Khaled ke negara Eurasia itu yang terletak di antara benua Eropah dan Asia, sejak dilantik sebagai Menteri Pertahanan pada 12 Disember tahun lalu.

Dalam lawatan itu, beberapa pertemuan diadakan termasuk bersama rakan sejawat dari Turkiye, Yasar Guler, selain dengan agensi pelaksanaan industri, sekretariat industri pertahanan Turkiye dan syarikat ternama pertahanannya seperti Turkish Aerospace Industries (TUSAS), Savunma Teknolojieri Muhendiskil (STM), Aselsan serta Makine ve Kimya Endustrisi (MKI).

Mengenai kemungkinan Kementerian Pertahanan menambah bilangan pembelian aset daripada Turkiye pula, Mohamed Khaled berkata, ia bergantung pada keadaan kerana Malaysia sudah membeli tiga sistem pesawat tanpa pemandu Medium Altitude Long Endurance Unmanned Aerial System’ (MALE UAS) serta tiga kapal misi persisir (LMS) batch kedua dengan Turkiye.

“Saya percaya kita tidak boleh menafikan kekuatan industri pertahanan Turkiye. Selagi barang (yang diterima) itu berkualiti, harganya berpatutan, terma-terma dan perbincangan atau kerjasama baik boleh terhasil, maka Turkiye akan terus menjadi keutamaan dan perhatian oleh Malaysia,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, Turkiye menghormati serta melihat Malaysia dalam kedudukan sama untuk menjadi negara pengeluar (industri pertahanan) dan perkara itu boleh berlaku kerana Turkiye melihat Malaysia sebagai sahabat yang rapat.

Sepanjang di Turkiye, Mohamed Khaled turut menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Malaysia-Turkiye yang diadakan buat julung kali di Kementerian Pertahanan Nasional Turkiye di Ankara.

Beliau juga menandatangani memorandum persefahaman (MoU) kerajaan dengan kerajaan (G2G) berkenaan perolehan produk-produk pertahanan serta perjanjian kolaborasi dan kerjasama membabitkan pemain industri pertahanan Malaysia dan Turkiye.

Mohamed Khaled turut menyaksikan penyerahan Surat Setuju Terima (LOA) pembelian LMS batch kedua kepada syarikat pertahanan Turkiye STM pada Selasa lalu. – BERNAMA