Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Mesyuarat Jawatankuasa Khas Bagi Membincangkan Cadangan Pindaan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 bersetuju untuk membawa cadangan pindaan Seksyen 8 APD 1983 ke mesyuarat Jemaah Menteri sebelum dibentangkan ke Parlimen untuk dimuktamadkan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata terdapat beberapa perkara penting yang diperhalusi bersama dan dibincangkan, khususnya berkenaan pindaan Seksyen 8 APD 1983 itu.

Katanya, mesyuarat bersetuju dengan cadangan pindaan serta syor-syor yang dikemukakan terhadap Seksyen 8 APD 1983 berkenaan yang akhirnya dapat memberi keutamaan kepada mana-mana pihak yang ingin mendapatkan rawatan dan pemulihan. 

“Seksyen ini merujuk kepada rawatan dan pemulihan kepada penagih atau penyalah guna dadah atau bahan bagi mendapatkan rawatan secara sukarela.

“Semoga usaha kedua-dua iaitu Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam menguruskan isu rawatan dan pemulihan dadah serta bahan dapat beroleh manfaat sebaiknya,” katanya yang mempengerusikan mesyuarat berkenaan hari ini.

Sebelum ini Mesyuarat Jemaah Menteri pada 30 April lalu bersetuju bagi satu Mesyuarat Jawatankuasa Khas diwujudkan membabitkan KDN dan KKMbagi membincangkan cadangan pindaan APD 1983.-BH Online