Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Semua golongan yang terbabit dalam industri pertanian termasuk pesawah akan menerima subsidi diesel daripada kerajaan.

Berikutan itu, pengapungan harga bahan api berkenaan yang saksikan peningkatan harganya sebanyak RM1.20 seliter sejak semalam tidak akan memberi kesan terhadap mereka.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pihaknya menyedari terdapat kekeliruan dan salah faham berhubung pemberian subsidi diesel dalam kalangan petani.

“Oleh itu, pihak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan Kementerian Kewangan akan turun penjelasan (berhubung) subsidi diesel ini, malah Menteri Kewangan II (Datuk Seri Amir Hamzah Azizan) sendiri turun merata (banyak tempat) sekarang ini memberi penerangan.

“Penerangan itu juga dirakam video untuk disampaikan kepada semua pihak termasuk petani, cuma sekarang ini ada sikit kekeliruan saya rasa ia sementara sahaja dan perkara ini juga benda baru yang diperkenalkan di Malaysia yang dipanggil subsidi bersasar, bukan dibuang subsidi itu.

“Semua penanam padi yang menggunakan diesel (akan) diberi subsidi termasuk semua sekali (golongan petani) cuma (sekarang) pendaftaran sedang berjalan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kebimbangan pelbagai pihak yang terbabit dalam pertanian berikutan penstrukturan subsidi yang mula dilaksanakan semalam.

Terdahulu beliau menghadiri Program Libat Urus bersama Pemimpin Peladang Negeri Pulau Pinang sempena Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tasek, di sini, hari ini.-BH Online