Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang menjalankan kajian untuk menggubal perundangan berkaitan ‘Lemon Law’ bagi mewujudkan kerangka perundangan berkaitan pertikaian kenderaan yang mengalami kerosakan supaya pengguna mendapat perlindungan yang komprehensif.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kajian itu bermula pada Jun hingga September ini membabitkan pelantikan perunding terdiri daripada pakar perundangan untuk melaksanakan reformasi undang-undang berkaitan bagi mewujudkan kerangka perundangan perlindungan pengguna yang lebih komprehensif.

Katanya, hal itu sejajar dengan kehendak dan tuntutan semasa yang mana banyak isu berbangkit termasuk berkaitan Lemon Law dan menuntut kerajaan melaksanakan reformasi.

“Kita sedia maklum, di Malaysia sekarang kita ada empat akta yang mempunyai ciri-ciri atau unsur Lemon Law termasuk Akta Perlindungan Pengguna 1999 [Akta 599], Akta Kontrak 1950, Akta Jualan Barangan 1957 dan Akta Sewa Beli 1967.

“Dengan kepelbagaian akta ini, dapatan kita dan juga aspirasi daripada pelbagai pihak khususnya pengguna, kita melihat ada isu berbangkit yang menuntut untuk melaksanakan reformasi dalam mewujudkan satu kerangka perundangan perlindungan pengguna yang komprehensif,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Simposium Kepenggunaan Malaysia 2024 di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh.

Armizan berkata, laporan berkaitan kajian itu akan menjadi asas kepada pertimbangan bagi kementerian untuk mendapatkan keputusan dasar sama ada wujud keperluan untuk mewujudkan satu akta khusus berkaitan Lemon Law atau melaksanakan pindaan kepada akta sedia ada.

“Ini kerana ada pihak yang berpendapat (pindaan) boleh dilaksanakan dan diperkukuhkan balik dan sebaliknya ada juga pihak yang melihat perlu wujud akta khusus berkaitan Lemon Law.

“Dalam hal ini, kita akan buat keputusan bersandarkan kepada laporan perunding pakar terbabit, dan sekiranya dipersetujui, kita akan membawanya kepada proses Regulatory Impact Assesment (RIA) dan seterusnya kita akan bawa kepada jemaah menteri.

“Kita menyasarkan untuk kemukakan dan membentangkan perkara ini seawal Mac tahun depan,” katanya.

Undang-undang Lemon menyediakan penyelesaian untuk pembeli kenderaan bermotor dan barangan pengguna lain untuk mendapatkan pampasan bagi produk yang berulang kali gagal memenuhi piawaian kualiti dan prestasi.

Armizan berkata, sebelum kerangka perundangan baharu itu dimuktamadkan, KPDN juga melaksanakan dua strategi interim pendayaupayaan perlindungan pengguna untuk melindungi pengguna.

Katanya, dua strategi itu termasuk penubuhan Pasukan Rundingan Khas berkaitan aduan kenderaan bermotor di KPDN yang membabitkan rundingan tiga pihak antara kementerian, pembeli dan pengedar atau pengeluar atau penambahbaikan proses di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM).

Katanya, dua strategi interim itu adalah inisiatif intervensi kerajaan untuk membantu pengguna apabila tuntutan awal mereka dengan peserta industri kurang berjaya dan tidak dapat diselesaikan.-BH Online