Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Malaysia menyokong penuh sebarang usaha memuktamadkan gencatan senjata antara Palestin dan Israel seperti dicadangkan Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat (AS).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata biarpun menyokong penuh usaha itu, Malaysia minta agar AS bertindak tegas terhadap rejim zionis yang sudah menyebabkan banyak kesengsaraan.

“Kita bincang dalam mesyuarat Jemaah Menteri (untuk) memberi sokongan kepada Mesir, Qatar dan AS, saya percaya ia lebih lunak berdasarkan apa yang saya pernah bincangkan dengan pimpinan Hamas. 

“Sementara kita sokong kuat cadangan ini, kita menuntut AS bertindak lebih tegas terhadap Israel kerana ini adalah kedegilan dan keangkuhan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Modul Latihan Kenegaraan Malaysia MADANI, hari ini.

Terdahulu, Qatar, AS dan Mesir menggesa Hamas dan Israel untuk memuktamadkan perjanjian merangkumi prinsip digariskan oleh Presiden Joe Biden. 

Ketiga-tiga negara itu menjadi pengantara dalam perbincangan berterusan untuk melaksanakan gencatan senjata di Gaza dan pembebasan tawanan serta tahanan. 

Prinsip digariskan itu menggabungkan tuntutan semua pihak dalam satu perjanjian yang memenuhi pelbagai kepentingan demi kesejahteraan rakyat Gaza. 

Mengulas lanjut, Anwar berkata, cadangan AS menerusi Presidennya bersama Qatar dan Mesir adalah untuk meletakkan beberapa prinsip bagi mencapai kedamaian segera yang lebih mantap dan menghentikan serangan ganas di wilayah Palestin. 

“Terlalu banyak bencana dan kesengsaraan yang sudah berlaku,” katanya.-BH Online