Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Dalam Negeri tidak akan melanjutkan tempoh masa kemasukan pekerja Bangladesh yang mempunyai visa kerja yang diluluskan, namun terlepas tarikh akhir 31 Mei untuk masuk bekerja di dalam negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata tempoh yang diberikan itu dianggap munasabah dan hebahan mengenainya telah dibuat lebih awal.

Berikutan itu, katanya, majikan yang ingin membawa masuk pekerja mempunyai masa yang mencukupi untuk menguruskan apa yang diperlukan.


“Pengumuman tarikh akhir untuk pekerja asing (Bangladesh) dibawa masuk (ke Malaysia) telah pun dihebahkan lebih awal iaitu tarikh akhirnya ditetapkan pada 31 Mei (2024).

“Ketika tarikh itu ditetapkan, kita telah mengambil kira semua proses maknanya bermula dari kuota diluluskan, pemeriksaan kesihatan, mendapatkan visa dan atur tiket yang bagi kita tempoh 31 Mei adalah tempoh munasabah.

“Apatah lagi, dalam tempoh kemasukan baru-baru ini antara 28 hingga 31 Mei yang merekodkan jumlah kemasukan lebih 20,000 pekerja asing, apabila kita buat semakan didapati kelulusan visa telah mereka peroleh pada bulan 11 (November) tahun lalu, maka isunya kenapa perlu tunggu sampai 31 Mei baru nak bawa masuk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung permintaan Bangladesh supaya tempih 31 Mei lalu itu dilanjutkan apabila hampir 17,000 pekerja yang mempunyai visa kerja yang diluluskan, namun terlepas tarikh akhir itu untuk tiba di Malaysia.

Saifuddin ditemui pemberita ketika turut serta dalam lawatan bersama Yang Dipertua Negeri Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak di Penjara Seberang Perai, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, Malaysia tidak bercadang untuk melanjutkan tempoh masa itu memandangkan ia sudah mencukupi bahkan sudah terlalu lama.

“Kalau majikan betul-betul memerlukan pekerja (asing) untuk kait buah di ladang (contohnya) visa dah lulus, dapatkan tiket maka datanglah..jadi kenapa mesti tunggu sampai 31 Mei yang tempoh masa begitu lama.

“Jadi, buat masa sekarang kita tidak bercadang untuk melanjutkan tempoh itu, sebaliknya kita terima kemasukan 20,000 (pekerja asing baru-baru ini),” katanya.

Saifuddin berkata, pihaknya mengunjurkan kemasukan pekerja asing mencecah sehingga 2.6 juta pada Disember tahun ini iaitu melebihi sasaran Unit Perancang Ekonomi (EPU), kira-kira 2.5 juta.

“Itu kedudukan yang ada sekarang, jadi tentunya kemasukan mereka ini untuk sektor perkilangan, perkhidmatan dan juga sektor pembinaan itu mencecah sasaran keperluan tenaga asing.

“Sektor perladangan dan pertanian kita akan proses mengikut kelulusan kuota sedia ada. Tiada lagi kelulusan baru dan sebagainya yang kita akan tengok dan buat pertimbangan berdasarkan kes demi kes,” katanya.

Terdahulu, sebuah portal media melaporkan Bangladesh memohon kepada Malaysia supaya hampir 17,000 pekerja negara itu mempunyai visa kerja yang diluluskan, namun terlepas tarikh akhir 31 Mei untuk tiba di Malaysia, dibenarkan masuk.

Menteri Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan di luar Bangladesh, Shofiqur Rahman Choudry, dipetik sebagai berkata tempoh khas diminta diberikan sekali untuk pekerja-pekerja ini memasuki Malaysia.

Katanya, taufan, ketiadaan penerbangan, dan koordinasi ejen yang lemah menghalang ramai pekerja pergi ke Dhaka, kemudian ke Malaysia.-BH Online