Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kerajaan Melaka mengumumkan 24 Ogos depan sebagai cuti persitiwa sempena ulang tahun kelahiran Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata sempena cuti peristiwa itu juga kerajaan negeri akan menawarkan kepada rakyat Melaka serta pemastautin untuk menikmati kemasukan secara percuma di beberapa lokasi pelancongan.

“Semoga pengumuman ini dapat menggembirakan seluruh rakyat Melaka,” katanya ketika berucap sempena Majlis Istiadat Angkat Sumpah Jawatan sempena Pelantikan Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Melaka penggal ke-2 di Balai Istiadat, Kompleks Seri Negeri di sini hari ini.null

Mohd Ali mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka ke-7 bagi penggal kedua hari ini.

Istiadat angkat sumpah jawatan berkenaan disaksikan Hakim Mahkamah Tinggi Melaka, Datuk Anselm Charles Fernandis dan Pegawai Kewangan negeri yang menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Salhah Salleh.

Pada 28 Mei lalu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Surat Cara Pelantikan kepada Mohd Ali sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka bagi penggal kedua, bermula 4 Jun 2024.

Sementara itu, Ab Rauf berkata, tahun lalu Melaka menerima pelaburan langsung dari luar negara (FDI) dan domestik berjumlah RM6 bilion.

“Bagi menggamit kehadiran lebih ramai pelabur, kerajaan negeri menubuhkan Melaka Industrial Booster (MIB) di bawah Invest Melaka Berhad yang dipelopori oleh Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) untuk membolehkan proses permohonan kelulusan pelan pemaju di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) dipercepatkan daripada 180 hari kepada 30 hari sahaja,” katanya.

Beliau berkata, usaha-usaha kerajaan untuk terus memperkukuh pertumbuhan ekonomi negeri menunjukkan impak yang amat menggalakkan, dengan ekonomi Melaka diunjurkan berkembang kira-kira empat hingga lima peratus sejajar dengan kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nasional.

Ab Rauf berkata, berdasarkan prestasi semasa, sektor perkhidmatan dan pembuatan masih kekal sebagai penyumbang utama iaitu masing-masing menyumbang 50.5 peratus dan 37.2 peratus kepada KDNK negeri.

“Sementara itu, statistik kadar pengangguran Melaka bagi suku pertama 2024 adalah 2.2 peratus lebih rendah berbanding pengangguran nasional yang berada pada paras 3.3 peratus. 

“Ini jelas membuktikan Melaka berjaya menurunkan kadar penggangguran daripada 2.9 peratus pada 2023 rentetan dengan peningkatan peluang pekerjaan di negeri ini,” katanya. – BERNAMA