Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Sumber Manusia akan membentangkan nota pertama mengenai cadangan penubuhan Suruhanjaya Gig Malaysia pada mesyuarat Kabinet yang dijadual diadakan esok.

Menterinya, Steven Sim Chee Keong, berkata pembentangan nota pertama membabitkan laporan interim cadangan berkenaan bertujuan memperoleh kelulusan daripada Jemaah Menteri.

Seterusnya, beliau berkata, nota pertama itu akan diperincikan berpandukan maklum balas diterima daripada Jemaah Menteri, sebelum nota berkenaan dijangka dilengkapkan menjelang Ogos ini.

“Saya tahu pekerja e-hailing dan p-hailing menunggu penubuhan Suruhanjaya Gig Malaysia ini. Ia adalah usaha kerajaan untuk membela pekerja gig.

“Nota ini akan dibentangkan pada mesyuarat Kabinet untuk mendapatkan kelulusan supaya perincian lanjut dan lengkap bagi menjurus kepada penubuhan suruhanjaya ini dapat dilakukan.

“Penubuhan suruhanjaya ini bertujuan memastikan pekerja sektor berkenaan akan mendapat pembelaan, bukan sahaja dari segi gaji tetapi termasuk kebajikan, perlindungan keselamatan sosial, isu kilanan (tidak puas hati) dan bantuan kerjaya.

“Seterusnya, siri dialog bersama pihak berkenaan juga akan diadakan ketika proses perincian dibuat, bagi memastikan penubuhan suruhanjaya ini dapat mencapai matlamatnya,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Tajaan Caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) dan Pertukaran Memorandum Persefahaman antara KESUMA, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Grab Malaysia.

BH sebelum ini, melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan supaya penubuhan Suruhanjaya Pekerja GIG disegerakan untuk membela nasib pekerja berkenaan, selain ia penting bagi memberi perhatian dan keprihatinan lebih kepada pekerja bagi sektor terbabit.

Penubuhan suruhanjaya itu bagi melindungi hak 1.12 juta pekerja gig, dengan tumpuan adalah memenuhi keperluan sosial, menyelesaikan pertikaian kontrak dan mendorong kemajuan kerjaya golongan berkenaan.

Bulan lalu, kementerian itu dilapor menggariskan enam kerangka penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig termasuk menggubal perundangan baharu.

Kerangka itu turut membabitkan mekanisme kilanan, struktur dan fungsi suruhanjaya, implikasi kewangan, penentuan kadar upah, perlindungan keselamatan, sosial dan kesihatan pekerjaan serta pangkalan data bersepadu bagi pendaftaran pekerja gig dan penyedia platform.

Sementara itu, Steven berkata, sebanyak 6,546 kes tuntutan diterima oleh PERKESO bagi sektor pengangkutan penumpang dan penghantaran barangan atau makanan, sejak 2020 hingga 31 Disember lalu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata, keseluruhan tuntutan berkenaan membabitkan jumlah pembayaran faedah untuk dwisektor bernilai RM29.3 juta.

“Sebanyak 2,033 kes tuntutan SKSPS diproses dengan pembayaran faedah keseluruhan mencecah lebih RM8.93 juta merangkumi 20 sektor, antara 1 Januari hingga 24 Mei lalu.

“Daripada jumlah berkenaan, sektor e-hailing dan p-hailing merekodkan sebanyak 631 kes tuntutan dengan pembayaran faedah di bawah sektor terbabit berjumlah RM3.3 juta.

“Setakat ini, seramai 622,473 pencarum aktif SKSPS sehingga 24 Mei lalu, selain saya menyasarkan jumlah ini ditingkatkan kepada 1 juta, menjelang akhir 2024,” katanya.-BH Online